" "
Motosikal

MOTOGP QATAR: SAYA TELAH DIKALAHKAN OLEH DOVIZIOSO – MARC MARQUEZ

Marc Marquez tewas hanya 0.023 saat kepada Andrea Dovizioso pada MotoGP Qatar minggu lepas tetapi beliau tidak berharap untuk muncul pemenang gantian akibat protes selepas perlumbaan terhadap pasukan Ducati yang sedang hangat diperkatakan.

Beliau yang ditemui selepas protes terhadap penggunaan sayap pada swingarm Ducati ditolak oleh Steward FIM berkata, “Saya telah memberikan komitmen 100 peratus di atas litar. Tapi hari ini ada seorang pelumba yang lebih laju dari saya dan dia adalah Andrea Dovizioso. Jadi beliau telah mengalahkan saya”. Protes tersebut kini telah dipanjangkan ke Mahkamah Rayuan MotoGP.

Petrucci, Qatar MotoGP 2019

Bantahan tersebut dikemukakan terhadap penggunaan sirip swingarm jentera Ducati GP 19  yang digunakan oleh Dovizioso, rakan sepasukan beliau Danilo Petrucci dan jack Miller dari pasukan Pramac. Bantahan itu dikemukakan oleh pasukan Aprilia, KTM, Honda dan Suzuki.

Dovizioso belum pernah menguji alat tersebut sehinggalah di Qatar tempohari dan sebaik perlumbaan tamat beliau menyatakan tidak merasakan apa-apa perbezaan pada motosikal walaupun dengan penggunaan sirip tersebut dan satu lagi penambahan pada bahagian tayar depan.   

Ramai yang menyangkakan sirip tersebut bertujuan untuk mengarahkan aliran angin ke belakang untuk menyejukkan tayar tetapi dakwaan tersebut dinafikan oleh Petrucci sebelum ini. Beliau juga mengatakan yang tujuan sebenar alat itu termasuk satu lagi dipasang di tayar di hadapan tidak boleh didedahkan kerana ia melibatkan kontrak beliau. Petrucci pula menyatakan ada sedikit perubahan selepas alat tersebut dipasang tetapi perbezaannya adalah tidak sebesar mana.

Selain tidak menyalahkan Dovizioso, Marquez juga menolak dakwaan yang kecederaan bahu beliau menyebabkan beliau tewas pada pergelutan di selekoh terakhir sebelum tamat perlumbaan.

Payah nak jumpa pelumba macam Marc Marquez ni, beliau bukan tidak menyalahkan pihak lain tetapi berusaha untuk menang dengan cara tersendiri dan pada masa yang sama menghargai kehandalan pihak lawan.

Dengan kata lain Marquez memang tidak layak menjadi King of Complaints.  

Google ads
Back to top button