Buletin

PATUNG UJIAN PELANGGARAN KINI SEMAKIN GEMUK

Tahukah anda bahawa patung ujian pelanggaran sudah mula digunakan sejak tahun 1950-an lagi?

Biarpun kelihatan seperti patung biasa, ia sebenarnya menelan belanja yang besar untuk dibangunkan. Ini kerana patung tersebut dilengkapi banyak alat pengesan yang berfungsi menyediakan data kepada pasukan penyelidik.

Satu perkara yang mungkin kita kurang perasan, bentuk tubuh patung itu sama sahaja, tetap kekal kurus. Sedangkan tubuh badan manusia sekarang dilihat telah mengalami perubahan yang agak mendadak berbanding zaman dahulu.

Bentuk badan terutama mereka yang di tinggal negara-negara maju seperti Amerika Syarikat semakin gemuk dan berat. Justeru Humanetics, menghasilkan sebuah patung ujian berdasarkan kepada badan seorang wanita gemuk berusia 70 tahun.

Patung ujian baharu itu seberat 123kg, 45kg lebih berat berbanding patung yang biasa digunakan dalam sesi ujian.

“Memandangkan populasi sudah berubah, kami mesti mempunyai peralatan ujian yang menggambarkan pengguna pada hari ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Humanetics, Chris O’Connor.

Menurut Pengarah Pusat Antarabangsa Automotif Universiti Michigan, Dr. Stewart Wang, pemandu yang obes cenderung untuk menggelongsor ke bahagian bawah tali pinggang. Sekali gus mendedahkan mereka kepada kecederaan bahagian bawah badan yang serius.

Bukan itu sahaja, peningkatan usia dan masalah berat badan turut menyebabkan bentuk dan struktur bahagian dada menjadi lebih lemah. Jadi, risiko kecederaan meningkat 15 kali ganda.

Nampaknya kita semua sudah perlu memulakan semula gaya hidup sihat untuk mengurangkan berat badan. Apabila badan sudah ringan, nisbah berat kuasa kenderaan juga boleh jadi lebih baik. Betul tak?

BACA: MEMAHAMI STRUKTUR KERANGKA MONOCOQUE DAN LADDER FRAME

Google ads
Back to top button