PDRM TUNAI IMPIAN PESAKIT KANAK-KANAK LEUKIMIA NAIK MPV
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan impian kanak-kanak pesakit leukimia menaiki kereta peronda polis (MPV) di Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Butterworth, Pulau Pinang.
Mohamad Ammar Dhani Mohd. Azuan, 7, merupakan kanak-kanak pesakit leukemia tahap empat itu setiap hari meluahkan hasrat untuk merasai pengalaman menaiki kereta peronda polis (MPV).
Dia berkata terlalu mengagumi kerjaya polis sehinggakan bercita-cita mahu menjadi anggota pasukan beruniform itu suatu hari nanti.
“Seronok dapat naik kereta polis, cita-cita saya nak jadi polis, nak tangkap orang jahat.” katanya.
Kanak-kanak yang menghidap penyakit itu sejak berusia dua tahun menambah, dia gembira kerana berpeluang mencapai impiannya itu.
Mohamad Ammar Dhani bertuah apabila kecintaannya terhadap kerjaya polis itu sampai ke pengetahuan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor melalui seorang anggotanya, lalu membuat kejutan kepada kanak-kanak berkenaan.
Noorzainy memberi peluang yang sudah lama diidamkan Mohamad Ammar Dhani dengan membawanya menaiki MPV jenis Honda Civic sambil diriba di tempat duduk penumpang hadapan meronda di sekitar Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Sementara itu Noorzainy berkata, pihaknya berbesar hati menunaikan impian kanak-kanak itu selepas dimaklumkan dia sering menyuarakan hasrat tersebut kepada ibunya. – UTUSAN ONLINE