Buletin

PEDAL BREK TERSANGKUT PELAPIK GETAH, PROTON SAGA REMPUH CITY DAN 3 GERAI MAKANAN DI KAJANG

Suasana di kawasan perniagaan makanan di Jalan Taman Mesra, Kajang Selangor gempar apabila sebuah Proton Saga secara tiba-tiba merempuh kereta lain dan beberapa buah gerai berhampiran. 

Rempuhan itu menyebabkan seorang peniaga lelaki berusia 25 tahun cedera ringan akibat terkena minyak panas. Kejadian itu didakwa berpunca daripada pelapik getah yang terlipat pada bahagian bawah brek. Sekali gus menyebabkan kereta berkenaan hilang kawalan. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu lelaki berusia 58 tahun keluar dari kawasan parkir sebelum hilang kawalan kerana masalah brek.

Dia yang panik kemudian melanggar bahagian sisi kiri depan sebuah Honda City yang dipandu oleh seorang wanita berusia 39 tahun serta gerai-gerai di kawasan berkenaan.

“Wanita itu turut mengesahkan pelapik getah pada kereta Proton Saga terbabit terlipat selepas membuat pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan,” kata Azman dalam satu kenyataan. Kedua-dua pemandu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semalam, satu video berdurasi satu minit 52 saat yang menunjukkan beberapa khemah gerai rosak dan barang niaga berselerak di lokasi kejadian tular di media sosial. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button