Buletin

90 TAHUN EVOLUSI GRIL ‘KIDNEY’ BMW

Mengenali jenama pengeluar kenderaan dengan melihat pada logo terlekat kemas pada jentera merupakan perkara biasa.

Begitupun, penggemar automotif boleh mengetahui jenama pengeluar kenderaan dengan hanya melihat pada rekaan gril hadapan sahaja.

Antara jenama pengeluar yang ‘setia’ bersama rekaan gril dibangunkan mereka merupakan Bayerische Motoren Werke atau lebih dikenali sebagai BMW.

Komponen gril ‘kidney’ yang dipadankan pada jentera BMW merupakan elemen cukup sinonim dengan jenama berkenaan.

Ia menelusuri pelbagai sejarah selama hampir 90 tahun sejajar perkembangan semasa dalam memberikan kepuasan rekaan kepada pemilik jentera BMW.

BMW Group Malaysia menyingkap semula 10 pencapaian melibatkan reka bentuk gril ‘kidney’ ini dan bagaimana ia diadaptasi dari generasi ke generasi.

BMW 303 (1933)

Dengan pengenalan model BMW 303 pada tahun 1933, maka bermulalah rentetan sejarah penggunaan gril ‘kidney’ dalam sejarah pemotoran dunia yang terpahat sehingga kini.

Model BMW 303 melakar dua aspek dalam sejarah pengeluar BMW.

Jentera itu merupakan model pertama BMW dipadankan enjin enam silinder dan didatangkan rekaan unik menghiasi setiap kenderaan BMW sejak hampir 90 tahun lalu, dipersembahkan dalam bentuk salur masuk udara melalui gril ‘kidney’ berkembar.

Biarpun, pada waktu itu, rekaan radiator dibahagikan dengan penggalang melintang bukan sesuatu yang luar biasa dalam dunia reka bentuk automotif tetapi ia berjaya mencuri perhatian melalui keunikan komponen grilnya.

Rekaan bulat pada bahagian atas dan bawah malah kemasan lencana BMW antara gril menjadikan ia dikenali penggemar automotif.

BMW 507 (1956)

Penggunaan gril ‘kidney’ diteruskan pereka, Albrecht Graf von Goertz melalui jentera roadster BMW 507 yang diperkenalkan pada tahun 1956.

Ia dilengkapi rekaan lebih moden didatangkan komponen salur masuk udara saiz besar dipasang secara mendatar.

BMW 1500 (1961)

Model kelas pertengahan, BMW 1500 yang mencetuskan era baharu dalam pembikinan jentera BMW dari segala aspek seperti teknologi, komersial dan estetika didatangkan dengan gril lebih langsing berbanding model terdahulu.

Jentera dibangunkan pada tahun 1961 itu, menjadi ilham kepada rekaan pada bahagian hadapan bagi model-model BMW sehingga tahun 1980-an termasuk model ikonik BMW 3.0 CS, BMW CSi dan BMW CSL.

BMW M1 (1978)

Pada tahun 1978, BMW memperkenalkan secara rasmi model pertama siri M yang didatangkan reka bentuk gril ‘kidney’ istimewa bersesuaian dengan penampilan sporty kereta tersebut.

Reka bentuk ‘kidney’ berkembar pada BMW M1 menjadi rujukan rekaan untuk model-model seperti BMW Z1 (1988) dan BMW 8 Series (1989).

BMW 3 Series (1990)

Generasi ketiga BMW 3 Series terus merasai evolusi rekaan gril ‘kidney’ berkembar.

Tidak seperti generasi pertama, komponen radiator mendapat sentuhan rekaan empat segi dengan bahagian penjuru semakin membulat.

Ia tidak dipisahkan oleh gril tetapi permukaan badan kenderaan sekali gus menyerlahkan lagi sisi moden jentera itu.

BMW mengekalkan rekaan gril terbaharu tersebut pada model-model dibangunkan tahun 1990-an.

Antaranya merupakan BMW 7 Series (1994), BMW 5 Series (1995), BMW Z3 (1995), BMW 3 Series (1998) dan BMW X5 (1999).

BMW i3 (2013)

Meneruskan legasi gril ‘kidney’, adalah model kereta elektrik BMW i3.

Didatangkan reka bentuk berkembar yang rata dan lebar dengan permukaan tertutup.

Sentuhan warna biru pada bahagian gril melambangkan identiti kenderaan elektrik penuh inovatif dan identiti jenama BMW.

Selain itu, BMW i3 menampilkan ciri aerodinamik yang dinaik taraf dengan pengenalan gril ‘kidney’ tertutup malah menjadi inspirasi kepada model jentera-jentera elektrik pada masa hadapan.

BMW 8 Series, BMW Z4 (2018)

Dua kenderaan berprestasi tinggi, BMW 8 Series dan BMW Z4 yang diperkenalkan pada tahun 2018 hadir dengan gril ‘kidney’ berbentuk pentagon lebar mendatar.

Dari segi fungsi, gril terbaharu tersebut bertindak sebagai saluran udara dipadankan sistem kawalan kelepak udara tertutup apabila perlu mengurangkan tekanan udara.

BMW 3 Series Sedan (2018)

Model BMW 3 Series terkini dilengkapi reka bentuk ‘kidney’ berkembar serba moden menggabungkan ciri-ciri terdahulu seperti ‘kidney’ bersambung, permukaan lampu hadapan bersambung, bingkai berbentuk pentagon tetapi dengan karakter baharu.

Jika diperhatikan gril berkenaan dipadankan lebih tinggi berbanding lengkungan lampu hadapan dan memanjang sehingga ke hud.

Varian M Performance BMW 3 Series menampilkan pembaharuan pada gril ‘kidney’ klasik dengan palang berbentuk tirus lebih kecil dipadankan struktur mesh dikenali sebagai “nuggets”.

BMW X7 dan BMW 7 Series terbaharu turut mendapat ‘kidney’ berkembar dengan rekaan seperti BMW 3 Series. Bagaimanapun, terdapat perbezaan pada saiz kedua-dua model itu.

BMW 4 Series Coupe (2020)

Pembangunan ‘kidney’ berkembar terbaharu untuk kenderaan produksi bersiri telah diperkenalkan secara digital di studio rekaan BMW Group berpangkalan di Munich, Jerman.

Rekaan terbaharu itu menampilkan elemen lebih besar, menegak dan condong ke hadapan.

BMW 4 Series Coupe baharu merangkumi inti pati jenama BMW dan merupakan tafsiran masa depan DNA BMW.

BMW Vision iNEXT (2018), BMW Vision M NEXT (2019)

Melalui dua model elektrik Vision iNEXT dan Vision M NEXT, pengeluar jentera Jerman itu memberi gambaran bagaimana rekaan gril masa hadapan.

BMW Vision iNEXT didatangkan gril ‘kidney’ berkembar yang diperbaharui daripada gril BMW i3.

Permukaan tertutup menempatkan kamera, sensor, serta teknologi lain bagi menawarkan bantuan kepada pemandu serta memudahkan pemanduan.

Teknologi berkenaan yang dinamakan “shy-tech” fungsi secara tersembunyi.

Dalam kereta sport hibrid, BMW Vision M NEXT, ‘kidney’ berkembar berstruktur teguh dilitupi bahan kaca dan permukaan menampilkan ukiran lencana BMW.

Pencahayaan kedua-dua bahagian ‘kidney’ tersebut yang memanfaatkan gradien warna yang memukau juga memancarkan kesan tiga dimensi.

Google ads
Back to top button