Motosikal

DUCATI SUPERLEGGERA V4. 500 UNIT SAHAJA. KERANGKA, RIM DAN LENGAN AYUN GENTIAN KARBON, RM414K!

Ducati akhirnya memperkenalkan model superbika yang ditunggu ramai, Superleggera V4 kepada dunia.

Terhad kepada 500 unit sahaja untuk pasaran seluruh dunia, ia boleh dikatakan sebagai antara jentera paling berkuasa dan cantik pernah dihasilkan oleh Ducati. 

Superleggera V4 dikuasakan oleh enjin V4 bersesaran 988cc yang mampu menghamburkan 231hp. Ia juga dipasang dengan sistem ekzos akrapovic untuk kegunaan di litar, selain spesifikasi berkuasa 220hp bagi penunggang yang hanya mahu menunggangnya di jalan raya. 

Enjin penuh kuasa bukanlah satu-satunya faktor yang menjadikan Superleggera V4 cukup istimewa. Pengeluar motosikal dari Itali itu membangunkan jentara tersebut menggunakan gentian karbon sepenuhnya. Ini merangkumi kerangka, sub-kerangka, roda dan lengan ayun. 

Penampilan Superleggera V4 diserlahkan lagi dengan wing aerodinamik gentian karbon yang memberikan downforce sehingga 50kg pada kelajuan 270km/j. Ini bagi menambah baik aspek kestabilan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. 

Wings itu juga berfungsi mengurangkan risiko roda hadapan terangkat apabila dipecut laju dan menambah baik kestabilan ketika membrek. 

Penggunaan gentian karbon membolehkan Superleggera V4 hanya mempunyai berat kering 159kg. Kalau dipasang dengan Racing Kit, beratnya dapat dikurangkan menjadi 152.2kg sahaja.

Sekali gus menawarkan nisbah berat kuasa yang terbaik untuk sebuah motosikal berkuasa tinggi yang boleh digunakan di atas jalan biasa. 

Superleggera V4 turut dilengkapi sistem suspensi Ohlins yang ringan bersama penyerap hentak titanium. Injap yang diambil daripada teknologi MotoGP pula berfungsi meningkatkan prestasi redaman semasa peringkat awal compression. 

Kedua-dua belah rodanya dipasang dengan sistem brek Brembo. Selain cap radiator khas diperbuat daripada solid aluminium dan kunci penghidup enjin baharu yang disertakan bersama nombor chasis. 

Penyerahan Superleggera V4 yang berharga sekitar AS$100,000 (RM414,000) itu akan bermula pada Jun 2020. 

GALERI

Google ads
Back to top button