Motosikal

PELANCARAN YAMAHA NVX 155 GENERASI BAHARU SEMAKIN HAMPIR?

Bulan lalu, kami telah pun melaporkan bahawa Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dijangka akan melancarkan Yamaha NVX 155 generasi terbaru tahun ini.

Berdasarkan perkembangan terbaru, kami difahamkan pelancaran skuter urban itu akan berlaku tidak lama lagi. Skuter tersebut baru-baru ini turut kelihatan menjalani ujian jalan raya sekali lagi.

Ketibaan NVX 155 terbaru itu pastinya akan terus merancakkan segmen skuter tempatan yang ketika ini dimeriahkan dengan beberapa pesaing baharu terutamanya dari jenama China.

Untuk rekod, NVX 155 generasi terbaru itu telah pun dipasarkan di negara jiran Indonesia dan dikenali sebagai Aerox 155. Bagi pasaran negara itu terdapat empat varian ditawarkan yang terdiri dari Standard, CyberCity, Turbo dan Turbo Ultimate.

Turbo dan Turbo Ultimate merupakan varian yang unik ekoran dilengkapi dengan transmisi YECVT yang menggunakan motor elektrik untuk mengawal pulley sekaligus menghasilkan daya pecutan dan nyahpecutan dengan penggunaan butang Turbo Y Shift.

Namun begitu, memandangkan NMAX 155 terbaru yang dilancarkan di Malaysia tahun ini bukannya varian Turbo kami menjangkakan perkara sama akan berlaku pada NVX 155 baharu.

Berdasarkan pengamaatan, kami berasakan varian CyberCity (dengan ABS) yang akan dipasarkan disini.

Dalam pada itu, tiada perubahan dari sudut enjin yang masih bernadikan unit satu silinder 155cc SOHC dengan VVA yang berupaya menjana 15hp pada 8,000rpm dan 14.2Nm pada 8,000rpm.

Google ads
Back to top button