Buletin

PEMENANG BIDAAN ACURA INTEGRA TYPE-R BERPUTIH MATA. PENJUAL HANCURKAN JENTERA SELEPAS TAMAT LELONGAN

Hasrat pemenang bidaan jentera Acura Integra Type-R mengimbau nostalgia di bangku sekolah tidak kesampaian apabila kereta dibeli pada harga AS$51,000 (RM211,752) hancur selepas beberapa jam lelongan berakhir.

Pembida dikenali sebagai Swind74 memenangi bidaan tersebut dalam platform lelongan, Bring A Trailer.

Menurut Swind74, dia ingin memiliki kereta tersebut kerana merupakan model jentera pertama yang dipandu ketika berada di bangku sekolah menengah.

“Saya tidak sabar untuk memandu jentera berkenaan sekali lagi,” tulisnya.

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah, hidup tidak selalu bahagia.

Kenderaan berkenaan terbabit dalam kemalangan selepas beberapa jam lelongan berakhir.

“Penjual membawa kereta keluar dan terlibat dalam kemalangan. Justeru, tiada siapa akan mendapat kenderaan itu,” kata Swind74 lagi.

Bring A Trailer mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kemalangan tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, syarikat terbabit akan mengembalikan semula wang milik Swind74.

Melalui Instagram vistecrimports, Acura Integra Type-R terbabit kelihatan rosak pada bahagian hadapan dan belakang dengan agak teruk. – carscoops/vistecrimports

Google ads
Back to top button