Buletin

DAIHATSU NAK BIKIN KENDERAAN IKUT SELERA PASARAN MALAYSIA DAN INDONESIA

Daihatsu Motor akan meningkatkan pengeluaran kenderaan disesuaikan dengan negara-negara Asia Tenggara terutama Malaysia dan Indonesia.

Pembangunan kenderaan tersebut bakal menggunakan kaedah kos rendah yang dibangunkan di Jepun.

Daihatsu berjaya membangunkan model tempatan di Asia Tenggara dengan pembangunan teknologi dikenali sebagai Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Pasaran baharu amat penting buat pengeluar Jepun itu, memandangkan ia mampu bertindak sebagai pelopor buat syarikat induk Toyota Motor.

Daihatsu turut berusaha memastikan kelangsungan jenama berkenaan dengan meningkatkan teknologi pengeluaran fleksibel sebelum kenderaan-kenderaan elektrik menguasai pasaran automotif.

Pada Mac lalu, Daihatsu melalui Perodua melancarkan model Ativa, SUV saiz kecil yang dibangunkan daripada model asas Daihatsu Rocky.

Biarpun, dibangunkan berdasarkan model di Jepun tetapi ia mendapat sentuhan mengikut kehendak pemandu di pasaran Malaysia.

“Malaysia memiliki banyak jaringan lebuh raya dan kenderaan akan dipandu dengan laju. Kita perlu memikirkan bagaimana hendak mengatasi masalah tersebut,” kata Timbalan Ketua Pegawai Pengurusan Pembangunan dan Penyelidikan Daihatsu, Nobuhiko Ono.

Beliau mengkaji laporan mengenai keperluan pemandu tempatan dan memutuskan untuk mengetatkan brek pada kenderaan terbabit.

Katanya, kebanyakan pemandu merasakan kurang selamat sekiranya brek yang terlalu lembut.

Selain itu, Ono menambah, SUV berkenaan turut dilengkapi kunci pada pintu penumpang belakang apabila pemandu tidak berada dalam kenderaan.

Beliau menjelaskan, ia dilakukan selepas mengambil pandangan pekerja tempatan yang menguji model percubaan tersebut.

Daihatsu merancang memperkenalkan 10 model baharu menjelang tahun 2025. – FMT

Google ads
Back to top button