Buletin

PEMILIK KERETA BAHARU BERUSIA BAWAH 30 TAHUN LEBIH BANYAK KOMPLEN – IQS J.D. POWER 2017

Pemilik kenderaan baharu yang berusia bawah 30 tahun dikatakan membuat lebih banyak laporan tentang masalah kereta berbanding mereka yang berumur 30 tahun dan ke atas.

Itulah hasil Kaji Selidik Kualiti Awal (IQS) J.D. Power 2017 Malaysia yang dikeluarkan pada hari ini. 

Walaupun hanya 37 peratus yang menyatakan mereka berdepam dengan masalah, berbanding purata kajian iaitu 43 peratus, jumlah laporan adalah lebih tinggi. Purata aduan yang dibuat oleh pemilik berumur bawah 30 tahun ialah 83 masalah bagi setiap 100 kenderaan (PP100), berbanding 77 PP100 oleh mereka yang lebih berusia.

“Tidak mempedulikan masalah yang dialami oleh kumpulan ini bukan hanya boleh menjejaskan jualan pada masa akan datang. Malah membuatkan mereka menjauhi jenama dan tidak mencadangkannya kepada rakan-rakan yang lain,” kata Ketua Negara Malaysia J.D. Power, Muhammad Asyraf Mustafar. 

Kajian mendapati 24 peratus pemilik muda yang mengalami masalah dengan kereta baharu mereka tidak akan kembali membeli jenama sama pada masa depan. Iu adalah 10 peratus lebih tinggi berbanding purata kajian.

Tujuh daripada lapan kategori masalah yang dinilai dalam kaji selidik ini menunjukkan jumlah laporan telah meningkat. Terutamanya melibatkan pengalaman pemanduan, bahagian luaran, dalaman dan enjin/transmisi. 

Dapatan tambahan kajian IQS 2017:

• Kereta jenama tempatan lebih banyak masalah: Pembeli kereta jenama Malaysia melaporkan lebih banyak masalah berbanding jenama asing (95 PP100 vs. 59 PP100).

• Kualiti SUV kini lebih baik: The Segmen SUV yang pantas berkembang dan hanya dijual oleh jenama asing merekodkan masalah paling sedikit iaitu 48 PP100.

• Masalah paling biasa dilaporkan: Bunyi angin yang kuat, 4.3 PP100.

• Kualiti binaan: 46 peratus pemilik yang kurang berdepan masalah menyatakan mereka akan mencadangkan jenama kepada kawan atau saudara-mara, berbanding hanya 13 peratus mereka yang ada masalah.

Kaji selidik IQS 2017 ini melibatkan seramai 2,843 responden yang membeli kenderaan baharu mulai Februari hingga Ogos 2017.

Google ads
Back to top button