BMW S58, ENJIN 6 SILINDER BOLEH DITALA SEHINGGA 1000 KUASA KUDA
Mungkin anda biasa mendengar nama B58 iaitu enjin 6 silinder buatan BMW dengan sesaran 3000cc. Dalam keadaan standard, enjin ini boleh menjana sehingga 382 kuasa kuda. Tapi B58 sebenarnya merupakan versi “budak baik” yang dihasilkan oleh BMW kerana ada satu lagi enjin B58 yang boleh dikategorikan sebagai “budak nakal”
Enjin ini merupakan enjin yang hampir sama dengan B58 iaitu masih bersaiz 3000cc tapi beberapa parameter telah diubah bagi menjana kuasa enjin yang lebih besar. Pertama saiz silinder dan lejang telah diubah menjadi 84mm dan 90mm berbanding dengan B58 (82mm x 94.6mm).
Kod enjin ini dikenali sebagai S58 dibagunkan khusus bagi menggantikan enjin S55 iaitu enjin untuk aplikasi berkuasa tinggi. Aci engkok S58 dihasilkan secara tempaan dengan menggunakan aloi krom molybdenum dengan rawatan haba dan dilalui dengan proses hardening. Jadi ia memiliki torsional strength yang tinggi meskipun beratnya sekitar 19.4kg sahaja
Crankpin direka dengan bentuk sfera bagi membolehkan bearing beroperasi dengan lancar dengan proses pembuatan yang hampir sama bagi menghasilkan komponen perlumbaan. Rod penyambung dihasilkan dengan menggnakan kaedah crack steel yang disambung dengan piston buatan MAHLE
Piston buatan MAHLE Motorsport menggunakan teknologi Grafal Anti Geseran dan juga dinding bahagian dalam silinder disalut dengan semburan wire arc bagi memastikan geseran antara piston dan silinder adalah minima.
Pin piston juga dihasilkan dengan Diamond Carbon Coated dan ditebuk dengan teknik khas bagi memastikan geseran piston dan pin piston menjadi sangat minima. Flywheel yang digunakan telah diuji dan terbukti lasak dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans dengan menggunakan jentera M4 GT3
Bagi menjimatkan berat dan mengoptimakan aliran cecair penyejuk, kepala silinder menggunakan kaedah 3D-printed core, dimana aliran minyak pelincir dan cecair penyejuk mengalirkan lebihan haba dengan baik dan stabil pada RPM tinggi.
Sistem turbo menggunakan 2 unit turbo dengan sistem wastegate kawalan elektronik dan juga sistem penyejuk (intercooler) sejukan udara dengan cecair penyejuk. Cecair penyejuk menggunakan pam mekanikal semasa enjin hidup manakala pam elektrik akan membenarkan sistem turbo disejukkan dengan lebih baik sebaik sahaja enjin dimatikan
Sistem suntikan bahan api beroperasi dengan tekanan sehingga 5000 psi (345 bar) dengan menghantar petrol tekana tinggi dalam semburan sangat halus, memudahkan proses pembakaran dan memastikan pencemaran asap adalah minima.
Sistem pemasaan pula diuruskan dengan sistem bukaan injap boleh laras Valvetronic dan juga sistem pemasaan injap Double-VANOS. Enjin S58 dihasilkan dalam 2 tetapan kuasa, menghasilkan 473 kuasa kuda pada 6250 RPM dan 550Nm tork seawal 2650 RPM. Talaan ini membolehkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 4.1 saat dan laju maksima 290km/jam
Bagi varian Competition, enjin S58 ditala dengan lebih kuat bagi menjana 503 kuasa kuda dan 650Nm tork dari 2750 RPM. Ini membenarkan pecutan 0-100km/jam dalam masa 3.8 saat. Angka yang dihasilkan ini adalah enjin dalam keadaan stok original kilang
Red Bull Driftbrothers iaitu pasukan drift professional telah menghantar BMW M4 yang dipasang dengan enjin S58 milik mereka bagi proses talaan dan mengekstrak lebih banyak kuasa . Antara perkakasan yang diubah ialah geometri kepala silinder, sistem suntikan bahan api port dan juga turbo prestasi tinggi
Selepas semua komponen ini dipasang dan ditala, enjin S58 ini berupaya menjana 1049 kuasa kuda dan 1275Nm tork tanpa perlu menukar piston, aci engkol, aci sesondol dan juga rod penyambung. Kuasa ini mengagumkan memandangkan enjin ini hanyalah 6 silinder, 3000cc dan dipasang dengan 2 unit turbo sahaja.