Buletin

PEMOTONG RUMPUT MAUT DILANGGAR ALZA. REMAJA 16 TAHUN TIADA LESEN MEMANDU

Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pekerja memotong rumput hingga seorang daripadanya maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, semalam didapati tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati MPV berkenaan dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun.

“Setakat ini, remaja terbabit sudah ditahan dan kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Remaja terbabit yang memandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan dan dia ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Difahamkan, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut sama ada remaja berkenaan memang diizinkan atau dia membawa MPV terbabit tanpa pengetahuan pemiliknya.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, seorang pekerja pemotong rumput warga Myanmar, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV ketika mereka sedang berehat di bahu jalan. – Harian Metro

Google ads
Back to top button