Artikel Pilihan

KENAPA PERODUA ALZA BARU TAK GUNA ENJIN TURBO?

Ketika Perodua Ativa dilancarkan awal tahun lepas, kami telah menguraikan dengan panjang berkenaan dengan enjin 1KR-VET 1000cc turbo yang digunakan oleh SUV Perodua ini. Dalam keadaan standard enjin ini menjana 97 kuasa kuda dan 140Nm tork ini dilihat sebagai enjin moden yang bakal digunakan oleh kebanyakan model Perodua

Ia dilengkapi dengan mekanisme DOHC 12 injap, sistem pemasaan injap VVT-i serta turbo ini amat sesuai sekali digunakan bagi model terbaru seperti Alza mahupun Myvi generasi seterusnya. Malah kami dengan yakin membuat spekulasi bahawa ia akan digunakan pada model Alza terbaru yang akan dilancarkan pada bulan Jun 2022.

Namun ternyata telahan kami silap kerana Daihatsu/Toyota/Perodua memilih untuk menggunakan enjin 1500cc dual VVT-i aspirasi normal yang mengahsilkan sekitar 102 kuasa kuda dan 136Nm tork sebagai pilihan utama untuk MPV mampu milik ini.

Ia akan digandingkan dengan transmisi Dual-Mode CVT (disebut juga sebagai DCVT) yang akan memacu tayar depan bagi model Alza/Veloz/Avanza generasi terkini. Seperti biasa penulis cuba mendapatkan pengesahan daripada sumber yang dipercayai iaitu abang pemotong rumput belakang kilang Perodua.

Menurut beliau, pemilihan enjin 1500cc dual VVT-i aspirasi normal ini dibuat atas dasar segmen kenderaan dimana Alza diposisikan berada di bawah Perodua Ativa. Buat masa sekarang hanya Ativa sahaja yang kekal menggunakan enjin berperisa turbo bagi jenama Perodua.

Jadi kita boleh anggarkan harga Perodua Alza tidak akan melebihi harga Perodua Ativa yang dijual bermula RM 61,000 sehingga RM 71,000. Dan besar kemungkinan juga beberapa ciri mewah lain yang ada pada Perodua Ativa seperti lampu depan adaptif bagi varian AV tidak akan ditawarkan pada Perodua Alza

Walaupun begitu Perodua Alza baru masih dikatakan lebih jimat dengan teknologi start stop yang berupaya memberikan bacaan purata penggunaan petrol sehingga 22 kilometer bagi setiap liter bahan api.

Google ads
Back to top button