Buletin

PENAMPILAN SULUNG ISUZU MU-X DI BORNEO SAFARI 2016

SUV tujuh tempat duduk Isuzu MU-X kini bersedia untuk mengharung ujian paling  menggentarkan apabila mengambil bahagian dalam Cabaran Offroad Antarabangsa Borneo Safari 2016.

Bakal berlangsung di Sabah mulai 30 Oktober hingga 6 November 2016, sebuah Isuzu MU-X `Monster’ yang telah diubah suai akan mengetuai sepasukan empat buah kenderaan Isuzu Malaysia untuk menjalani cabaran getir di hutan belantara Sabah dalam acara 4X4 edisi ke-26 yang terbesar dan terkemuka di Asia itu. Tiga buah lagi kenderaan Isuzu itu ialah trak pikap D-Max ‘Monster’.

Isuzu-MU-X-Monster-Borneo-Safari-2016-mekanika (2)

Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Sabah, Faez A Nordin menyatakan penghargaan kepada Isuzu kerana menjadi Penaja Berlian (Diamond Sponsor) untuk Borneo Safari 2016.

“Kami berterima kasih kerana Isuzu terus menyokong acara ini selama 10 tahun berturut-turut.  Sokongan kuat mereka adalah salah satu sebab utama kami dapat mengembangkan acara ini hingga tahap ini. Tahun ini mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah Borneo Safari, iaitu sebanyak 400 kenderaan. Jumlahnya terus meningkat setiap tahun,” kata Faez.

Isuzu-MU-X-Monster-Borneo-Safari-2016-mekanika (4)

Borneo Safari tahun ini akan menjadi cabaran paling sukar setakat ini. Jalan yang dipilih oleh penganjur melibatkan laluan di kaki Gunung Kinabalu menjangkaui daerah Ranau dan Kota Marudu. Ia meliputi laluan sukar sepanjang hampir 40km yang terdiri daripada laluan balak yang sudah tidak digunakan, selain merentasi beberapa batang sungai.

Pengubahsuaian yang dibuat ke atas Isuzu MU-X adalah terhad kepada bahagian luaran sahaja.  Enjin diesel 2.5-liter VGS turbo Intercooler yang dipadankan dengan  transmisi automatik lima kelajuan dan ciri sequential shift itu kekal standard.

Isuzu-MU-X-Monster-Borneo-Safari-2016-mekanika (3)

Pengarah Eksekutif Isuzu Malaysia, Hajime Machimura yakin dengan kemampuan Isuzu mu-X untuk mengharung laluan sukar dan cuaca tidak menentu yang  bakal dihadapi sepanjang acara Borneo Safari 2016.

“Walaupun ia merupakan SUV gaya hidup, Isuzu MU-X mempunyai DNA yang kukuh. Sama seperti trak pikap Isuzu D-Max yang telah berkali-kali membuktikan kemampuannya dalam setiap edisi Borneo Safari sejak ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2005.  Ia sememangnya bersedia untuk lebih banyak lagi cabaran,” katanya.

Google ads
Back to top button