Buletin

PENERBANGAN DIBATALKAN GARA-GARA WANITA TERSILAP PINTU TANDAS, BUKA PINTU KELUAR KECEMASAN PESAWAT

Seorang penumpang kali pertama menaiki pesawat menyebabkan penerbangan Air China CA2754 ke Chengdu dibatalkan, gara-gara tidak sengaja membuka pintu kecemasan pesawat ketika dia perlu ke tandas.

Dilaporkan oleh Shanghai Daily, kejadian ini berlaku di Lapangan Terbang Quzhou, Zhejiang, China pada 4 Julai 2024, tepat jam 8:45 malam.

Menurut laporan, penumpang itu pertama kali menaiki kapal terbang.

Kelihatan penumpang berkenaan sedang mencari bilik air di belakang dan dikatakan tiada anak kapal di bahagian tersebut sebelum dia tersilap membuka pintu kecemasan.

“Tiada bunyi ketika pintu dibuka. Selepas kejadian itu, pesawat mengumumkan penangguhan, dan kemudian membatalkan penerbangan. Air China membawa kami ke sebuah hotel untuk berehat,” kata penumpang itu kepada Chongqing Morning Post.

Seorang lagi penumpang berkata, penumpang yang membuka pintu kecemasan adalah seorang wanita.

“Dia berlari ke kabin belakang dan membuka pintu kecemasan dengan mudah. Kelewatan penerbangan menyebabkan semua orang di dalam pesawat menerima pampasan sebanyak 400 yuan (sekitar RM256),” jelasnya.

Wanita yang membuka pintu kecemasan itu kemudian disoal siasat oleh polis. Bagaimanapun, identitinya masih belum didedahkan.

Seorang pakar penerbangan berkata kejadian seperti ini adalah perkara biasa. Mengikut undang-undang China, membuka pintu kecemasan kapal terbang adalah satu kesalahan.

“Perkara ini adalah sama dengan mengganggu ketenteraman dan membahayakan keselamatan penerbangan,” katanya.

Google ads
Back to top button