
PENGECUALIAN CUKAI SST TAMAT 30 JUN. PENDAFTARAN KENDERAAN DILANJUTKAN SEHINGGA 31 MAC 2023
Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan bahawa tarikh akhir pengecualian cukai jualan (SST) kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun depan, sekali gus menamatkan spekulasi ia akan disambung.
Pengecualian cukai tersebut dibuat bagi meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 selama hampir dua tahun.
Dilanjutkan sebanyak tiga kali, inisiatif pengecualian penuh cukai ke atas kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) 50 peratus untuk kereta import membolehkan 868,422 unit telah berjaya dijual. Rakyat juga mendapat manfaat pengecualian cukai berjumlah RM4.7 bilion.
Apabila ekonomi kembali dibuka, sektor automotif dapat beroperasi seperti biasa. Namun, gangguan bekalan chip semikonduktor di peringkat global menyebabkan banyak tempahan tidak dapat dipenuhi. Isu tersebut menyebabkan 264,000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian cukai ini masih belum disiapkan dan tidak dapat diserahkan kepada pembeli.
“Jadi, bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun 2022 dapat menikmati insentif pengecualian cukai jualan, sukacita dimaklumkan bahawa tempoh pendaftaran kenderaan tersebut di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
“Lanjutan tempoh pendaftaran ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang terpaksa ditingkatkan semua pasca pandemik, demi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Zafrul dalam satu kenyataan rasmi.
- BACA: BAGAIMANA CUKAI JALAN DIKIRA?
- BACA: LARI CUKAI, JPJ INDIA RAMPAS 11 KERETA MEWAH MILIK KELUARGA AHLI POLITIK, USAHAWAN DI HYDERABAD
- BACA: PERODUA DAFTAR 61,624 UNIT PADA Q1 2022. RAYU PENGECUALIAN CUKAI DILANJUTKAN
- BACA: PENGECUALIAN CUKAI SST TAMAT 30 JUN. PEMBATALAN TEMPAHAN KERETA DIJANGKA MENINGKAT PADA JULAI

