
PERODUA DAFTAR 61,624 UNIT PADA Q1 2022. RAYU PENGECUALIAN CUKAI DILANJUTKAN
Perodua mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku pertama 2022 dengan 61,624 kenderaan telah didaftarkan. Ini menandakan peningkatan sebanyak 6.4 peratus daripada sejumlah 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac 2021.
“Kesan daripada Covid-19 dan isu bekalan komponen masih ada. Namun kami telah bekerjasama dengan para pembekal dan pengedar untuk mengurangkan impak tersebut. Fokus kami kini adalah untuk mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada para pelanggan sebelum berakhirnya tarikh pengecualian cukai jualan pada 30 Jun 2022.
“Perodua bersama MAA (Persatuan Automotif Malaysia) dalam rayuan bagi melanjutkan tarikh pengecualian cukai jualan kerana faktor seperti gangguan bekalan semikonduktor global dan kes Covid-19 masih memberi kesan kepada industri,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Zainal memberitahu bahawa industri automotif, termasuk ekosistem tempatan amat berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif (pengecualian cukai jualan) tersebut kerana ia mampu meraih permintaan yang tinggi. Sekali gus memajukan industri sepanjang pandemik terburuk ini berlaku.
“Ekosistem automotif tempatan kini mulai pulih secara beransur-ansur. Lanjutan pengecualian cukai jualan adalah rangsangan yang diperlukan oleh industri demi pertumbuhan yang mampan terutamanya dalam tempoh pemulihan,” katanya lagi.
Pada Mac 2022, Perodua telah mencatat jualan 26,759 kenderaan, peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 24,433 unit yang dijual pada Mac tahun lalu . Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Mac melonjak 53.2 peratus daripada 17,421 unit yang didaftarkan pada Februari 2022.
Pencapaian jualan bulanan tertinggi Perodua dicatatkan pada Oktober 2021 dengan 27,858 unit didaftarkan.
Perodua menjangka suku kedua 2022 akan menjadi kemuncak bagi industri automotif kerana jenama-jenama lain juga akan menghantar seberapa banyak kenderaan yang mereka mampu dalam tempoh tiga bulan tersebut.”
Walaupun bekalan cip semikonduktor dan Covid-19 masih mampu mempengaruhi pengeluaran, Perodua menjangkakan pengeluaran dan pendaftaran akan bertambah baik. Pengeluar kenderaan kompak itu juga tidak melihat faktor lain seperti konflik antara Rusia dan Ukraine akan memberi kesan yang besar kepada pengeluaran Perodua pada masa depan.
“Berdasarkan faktor-faktor ini, kami akan mengekalkan sasaran jualan 247,000 kami untuk tahun ini,” kata Zainal.







