
PENGEDAR JUAL CIVIC SI 2022 PADA HARGA CEKIK DARAH
Honda Civic Si 2022 merupakan penawaran yang hanya boleh didapati di pasaran Amerika Syarikat, dengan kelebihan seperti penawaran transmisi manual, respons enjin yang lebih bertenaga, serta sistem brek yang lebih besar.
Ia dilihat sebagai satu model yang mampu mengisi ruang kosong antara model Civic standard dan juga Civic Type R yang bakal muncul kelak.
Namun, salah sebuah pengedar Honda di California, Amerika Syarikat didakwa mengenakan harga jualan Civic Si 2022 bermula dari $42,694 (RM179,037).
Harga tersebut adalah jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan harga runcit yang dicadangkan oleh pengeluar (MSRP) iaitu bermula dari $27,300 (RM114,483).
Unit Civic Si 2022 yang dimaksudkan itu dilayangkan dalam warna Sonic Grey Pearl, diikuti roda berwarna hitam, lencana hitam dan juga spoiler berwarna hitam.
Ruang kabin pula didatangkan dengan kombinasi upholsteri fabrik hitam dan merah yang merupakan satu-satunya pilihan yang ditawarkan pada model Civic Si.
Sumber: Carscoops