Buletin

ORANG LAIN PENAT PANCING IKAN, LELAKI INI MENANG CABUTAN BERTUAH FORD MUSTANG KUNING

Seorang lelaki berusia 24 tahun menjadi antara individu paling bertuah dalam program pertandingan memancing yang diadakan di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah baru-baru ini. 

Lelaki berasal dai Johor itu dipilih sebagai pemang hadiah cabutan bertuah sebuah kereta idaman ramai terutama tauke kosmetik, apa lagi kalau bukan Ford Mustang. Berita itu dikongsi oleh admin Facebook Kedah Kini. 

“Tahniah adik yang baru berumur 24 tahun, orang Johor, dapat cabutan bertuah kereta Ford Mustang di pertandingan memancing yang bertempat Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah,” tulis Kedah Kini.

Ford Mustang pernah dibawa masuk secara rasmi oleh pengedar Ford, Sime Darby Auto Connexion pada tahun 2015. Jentera muscle Amerika itu ditawarkan dalam dua varian enjin iaitu 2.3 liter turbo EcoBoost dan GT 5.0 liter V8. 

Harganya pula bermula RM435,000 seunit (pada masa itu). Tetapi, memandangkan kereta sports paling laris di dunia itu sudah banyak dibawa masuk oleh grey importer, ia kini boleh didapati pada harga serendah RM230,000 bergantung kepada tahun dan enjin yang digunakannya. 

Namun, tidak dapat dipastikan varian mana dan tahun berapa kereta yang dimenangi pemuda berkenaan.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada pemuda terbabit dan menganggap hadiah tersebut adalah rezeki pembuka tahun baharu.

“Ini betul-betul rezeki tahun baharu, tahniah bro, jaga elok-elok kereta itu. Kalau ex (bekas kekasih) tengok ni mesti menyesal habis,” tulis Kaki Pancing Sabah.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Rashid Mawi. “Para isteri jangan dilarang jika suami keluar memancing, kadang-kadang rezeki bukan sahaja setakat ikan malah boleh bawa balik kereta,”tulisnya pada ruangan komen.- K! ONLINE

Google ads
Back to top button