Buletin

PENGEDAR TOYOTA USA NAIKKAN HARGA GR COROLLA LEBIH 50 PERATUS, GILA UNTUNG KAW-KAW

Model hot hatch GR Corolla sememangnya menjadi buruan ramai, ditambah pula dengan harga jualan ‘kompetitif’ bermula dari $36,995 (RM165,738).

Bukan itu sahaja, Toyota hanya mengehadkan produksi GR Corolla sebanyak 6,600 unit untuk tahun pertama untuk pasaran Amerika Syarikat.

Ini mengakibatkan sesetengah pihak mula mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan GR Corolla sehingga 50 peratus.

Berdasarkan hantaran di laman kelab pemilik Hyundai Elantra N Owners Group of North America, sebuah pengedar Toyota di Amerika Syarikat dikesan cuba untuk menjual GR Corolla dengan harga $60,223 (RM269,799).

Lebih mengejutkan, ia bukanlah sebuah GR Corolla Circuit Edition yang sarat dengan pelbagai naiktaraf prestasi, atau versi Morizo Edition dengan angka produksi yang lebih terhad.

Sebaliknya, model yang dimaksudkan itu merupakan model asas GR Corolla, berdasarkan informasi yang dikorek oleh laman Carscoops.

Sayang sekali apabila model seperti GR Corolla kini sudah menjadi mangsa eksploitasi segelintir pihak yang cuba untuk mencari keuntungan lebih. – Carscoops

Google ads
Back to top button