![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/08/Tesla-Semi-fleet-hero.jpg)
PENGHANTARAN PERTAMA TESLA SEMI TRUCK BERMULA TAHUN INI – ELON MUSK
Setelah sekian lama menanti, CEO Tesla Elon Musk akhirnya mendedahkan menerusi laman mikroblog Twitter berkenaan model trak elektrik syarikat itu.
Menurutnya, penghantaran pertama bagi model Tesla Semi Truck akan dibuat bermula tahun ini, diikuti dengan model Cybertruck pada tahun 2023.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/08/2023-Tesla-Semi-2.jpg)
Tesla mula memperkenalkan model Semi berkuasa elektrik penuh pada tahun 2017, dan pada ketika itu, ia sepatutnya keluar daripada barisan produksi pada tahun 2019.
Atas sebab tertentu, produksi bagi Tesla Semi Truck terpaksa dianjakkan ke tahun 2020, 2021 dan akhirnya mula diproduksikan pada tahun ini.
Dari segi spesifikasi, Tesla Semi Truck merupakan sebuah trak semi di dalam kategori Class 8 di Amerika Syarikat, dilengkapi dengan empat motor elektrik, pecutan 0-100 km/j serendah lima saat tanpa pemasangan trailer di belakang dan boleh didapati dalam versi jarak jauh 805 km.
Versi jarak standard 483 km pula bakal menyusul kelak.