BuletinModifikasi

PERNAH DENGAR TENTANG KERETA INI? LAMBORGINI DIABLO GT1 STRADALE

Lamborghini Diablo merupakan merupakan ikon dalam dunia supercar dan mula diperkenalkan pada tahun 1990 dan bertahan sehingga 2001 sebelum digantikan dengan Murcielago. Pelbagai variasi model ini dikeluarkan sama ada dalam bentuk coupe mahupun dalam bentuk roadster.

Sebanyak 2,884 unit telah berjaya dihasilkan untuk pasaran ke serata dunia. Ia juga menjadi antara model paling popular sebagai penghias poster bilik anak-anak muda suatu ketika dahulu. Malah dikatakan, inilah antara model paling mahal pernah dibangunkan oleh Lamborghini dengan kos yang dikatakan menelan belanja 6 billion Lira Itali.

BACA: PUSAT PAMERAN LAMBO TERBESAR DI DUBAI

Ini kisah lama di mana Lamborghini pernah merancang untuk menyertai perlumbaan yang sama seperti pernah disertai Porsche 911 GT1 dan McLaren F1 GTR.

Mereka telah melancarkan program pembangunan perlumbaan sebelum ia dihentikan atas faktor-faktor yang tidak diketahui. Namun begitu dua buah model berorientasi perlumbaan telah berjaya dihasilkan dan dinamakan Lamborghini Diablo GT1 Stradale.

Satu daripadanya kini berada di Eropah manakala satu lagi berada dalam koleksi persendirian di Jepun. Anda mungkin tidak pernah menyangka yang model ini wujud.

Bahkan kami sendiri pun tidak sangka yang Lamborghini pernah menyiapkan model ini. Namun dengan hanya sekali imbas, para peminat Lamborghini akan mengenali yang ia sememangnya sebuah Diablo tetapi dengan kit badan yang lebih berbeza.

Rakaman mengenai Diablo ini mula dimuatnaik ke laman Youtube oleh seorang pengguna pada tahun lepas.

GT1 Stradale ini telah dihasilkan oleh pakar penala dari Perancis iaitu Signes Advanced Technology. Ia dikuasakan oleh enjin 6.0-liter V12 NA yang mampu menjana 655bhp kuasa maksima. Ia kemudiannya diberikan kemasan kit badan daripada gentian karbon yang memang menukar sepenuhnya penampilan bekas model flagship Lamborghini itu.

Bahagian dalaman juga diubah secara dramatik berbeza dengan Diablo biasa (macam tak kena pulak sebut Diablo biasa) dengan penggunaan pedal-pedal, tuil gear dan semua butang dan suis yang diubahsuai agar kelihatan lebih bermotifkan perlumbaan.

Sebagai sebuah Lamborghini, semestinya ia dihasilkan agar kelihatan cukup bergaya selain berfungsi dengan baik.

Untuk lebih memahami Diablo unik ini dengan lebih teliti siap dengan bunyi deruman ekzosnya, saksikan video di bawah.

Google ads
Back to top button