,
Buletin

PERNAH DIKEJAR GAJAH DAN BERUANG, POSMEN JALAN KAKI 15KM SEHARI SELAMA 30 TAHUN KINI BERSARA

Seorang posmen gigih berjalan kaki sejauh 15 kilometer (km) sehari selama 30 tahun untuk menghantar surat ke lokasi yang tidak boleh diakses kenderaan di sekitar Tamil Nadu, India.

D Sivan, 66, terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sewaktu berjalan kaki melalui hutan tebal dan menyeberangi sungai, lapor NDTV.

Sivan juga perlu berwaspada kerana berisiko diserang binatang buas. Dia mengaku  pernah dikejar gajah dan beruang semasa menghantar surat.

Pengalaman itu dikongsi oleh Pegawai Pentadbiran Awam (IAS), Supriya Sahu. Dia nyata kagum apabila melihat kesungguhan D Sivan melaksanakan amanah untuk menghantar surat kepada penerima.

“Posmen D Sivan berjalan sejauh 15km setiap hari melalui hutan tebal untuk menghantar surat di kawasan yang tidak dapat diakses di Coonoor.

“Dikejar gajah liar, beruang, menyeberangi sungai dan air terjun, dia melakukan tugasnya dengan penuh dedikasi selama 30 tahun hingga bersara minggu lalu,” ciapnya yang kemudian pantas tular di laman sosial.

Kisah penuh inspirasi itu telah dikongsi sebanyak 17,000 kali dan menerima 81,700 tanda suka daripada netizen yang memuji sikap lelaki warga emas yang tidak pernah berputus asa.

Difahamkan, setiap hari D Sivan perlu berjalan kaki di sepanjang landasan kereta api Gunung Nilgiri dari Pejabat Pos Hillgrove di daerah Coonoor untuk menghantar surat dan wang pencen kepada penduduk yang juga pekerja ladang di kawasan terpencil iaitu Singara, Marapallam yang tidak mempunyai akses pengangkutan.

Dengan berbekal gaji bulanan sebanyak 12,000 rupee (RM682) dedikasi lelaki itu terhadap kerjayanya sering menjadi bualan penduduk di daerah berkenaan. Penduduk sangat menghargai jasanya yang berjalan kaki walaupun sudah lanjut usia.

Selepas 30 tahun bekerja sebagai posmen di daerah tersebut, Sivan mengambil keputusan untuk bersara.

Jasa dan pengorbanan Sivan terus disanjung tinggi oleh penduduk dan netizen yang tidak henti-henti mengucapkan terima kasih di segala sumbangannya selama ini yang berbakti kepada masyarakat.

Mereka berpendapat Sivan layak mendapat anugerah Padma Shri iaitu salah satu anugerah penghargaan awam tertinggi di India. – Sinar Harian 

Google ads
Back to top button