Buletin

BMW PLAT COVID 19 JADI TANDA TANYA. MILIK SIAPAKAH KERETA NI?

Misteri sebuah kereta BMW dengan plat COVID 19  menjadi persoalan bagi seorang pekerja di Lapangan Terbang Adelaide, Australia.

Imej BMW berwarna kelabu telah dihantar seorang pekerja lapangan terbang berkenaan, Steven Spry kepada ABC Radio Adelaide

Dia berkata kenderaan diparkir di ruang letak kereta pekerja sebelum Australia memulakan perintah berkurung lagi.

Penyakit yang disebabkan coronavirus mula dilabel secara rasmi sebagai COVID-19 pada 11 Februari lalu. Sebulan kemudian, ia telah diisytiharkan sebagai pandemik.

Spry menambah, mengikut ingatan rakan sekerja, kereta tersadai di parkir itu sejak Februari ataupun awal lagi.

Pada pertengahan Mac, katanya, kereta masih berada di ruang parkir apabila para pekerja lapangan terbang terpaksa mengambil cuti selama empat minggu disebabkan penularan COVID-19.

“Kereta tersebut mempunyai penutup, bagaimanapun, cuaca mula berubah berangin pada bulan April sehingga penutup terbuka. Ia sekali gus menimbulkan kemusykilan terutama pada nombor plat.

“Para pekerja juga membuat spekulasi mengapa kereta mahal dibiarkan di lapangan terbang dan diletakkan berhampiran terminal.

“Kemungkinan ia merupakan kereta juruterbang yang bertugas ke luar negara dan tidak boleh pulang kerana terdapat sekatan perjalanan,” katanya.

Menurut Spry lagi, para pekerja hanya dibenarkan meletak kenderaan di ruang tersebut selama 48 jam sahaja.

 Di Australia Selatan, plat nombor khas perlu mendapat kelulusan Pendaftar Kenderaan Bermotor terlebih dahulu.

Menteri Industri Australia Selatan, David Pisoni memberitahu ABC Radio Adelaide, permohonan kelulusan pembelian nombor plat khas mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari. – agensi

Google ads
"
"
Back to top button