Buletin

PERODUA BEZZA GXtra – SPESIFIKASI SETANDING VARIAN 1.3 PREMIUM X, BERMULA RM35,500 SAHAJA!

Perodua hari ini melancarkan varian baharu Bezza yang dikenali sebagai Bezza GXtra.

Menggantikan varian 1.0 Standard G, ia ditawarkan pada harga pengenalan RM35,500  (manual) dan RM37,500 bagi versi automatik (di atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia).

Bezza GXtra juga hadir bersama jaminan selama lima tahun/150,000 km.

Varian asas Bezza itu kini dipasang dengan skirting sisi dan hendal pintu krom. Ia boleh didapati dalam warna biru (Ocean Blue) yang sebelum ini hanya ditawarkan pada varian 1.3L.

Untuk ruang dalaman, perubahan melibatkan kemasan ‘piano black’ pada papan pemuka dan panel audio. Sementara corong pendingin hawa, stereng dan tapak tuol gear dihiasi kemasan berwarna cerah.

Bezza ialah sedan pertama keluaran Perodua dan disifatkan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) paling mampu milik di Malaysia. Sejak pelancarannya pada pertengahan tahun 2016, ia telah menjadi sedan paling laris di Malaysi, dengan hampir 100,000 unit berjaya dijual sehingga kini.

Dengan spesifikasi yang setanding dengan Bezza 1.3 Premium X, Perodua yakin dapat memberikan lebih banyak nilai kepada pelanggan.

Varian baharu ini dikuasakan enjin 1.0 liter 1KR-VE dengan VVT-i (Variable Valve Timing – Intelligent), dengan pilihan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan E-AT (kawalan elektronik).

Penggunaan bahan api adalah sekitar 22.8 km/l bagi varian manual dan 21.3 km/l (automatik).

Bezza GXtra kini sudah dibuka untuk tempahan. Untuk melihat dengan lebih dekat, sila kunjungi bilik pameran Perodua yang berdekatan pada 5 dan 6 Mei ini, sempena Hari Pelanggan.

Google ads
Back to top button