Buletin

PERODUA GAGAL CAPAI SASARAN JUALAN 200K PADA 2021. COVID-19 DAN BEKALAN CHIP JADI PUNCA

Jualan Perodua pada Disember naik 13 peratus kepada 22,940 unit berbanding 20,299 unit sepanjang November 2021, berikutan langkah untuk mengekang gangguan bekalan akibat COVID-19 mula menampakkan hasil positif. 

“Kami ingin mengucapkan terima terima kasih kepada pelanggan atas sokongan dan kesabaran, terutama mereka yang terpaksa menunggu lama. Insya Allah, penghantaran akan lebih cepat dalam beberapa bulan lagi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad. 

Dari segi tahunan, Perodua telah mendaftarkan 190,291 unit kenderaan pada 2021, jatuh 13.6 peratus berbanding tahun 2020 dengan  220,154 unit. Ini kerana masalah kekurangan chip konduktor, COVID-19 dan banjir yang memberi impak kepada pengeluaran. 

“Angka pendaftaran 190,291 adalah di bawah sasaran kami iaitu 200,000 unit untuk tahun 2021 kerana cabarannya lebih hebat daripada yang dijangka,” kata Zainal lagi.  

Biarpun begitu, Myvi terus mengungguli pasaran Malaysia dengan 47,525 unit terjual. Diikuti oleh Axia dan Bezza yang mendominasi pasaran segmen A dalam negara. 

Zainal juga menyatakan volum keseluruhan industri (TIV) tahun 2021 juga turun sebanyak 23.6 peratus kepada 504,536 unit daripada 528,172 unit pada tahun 2020.

Disember lalu, Perodua meletakkan sasaran jualan 240,000 unit untuk tahun 2022. Namun, pengeluar kenderaan nasional kedua itu dijangka menyemak semula angka tersebut pada Januari ini selepas penilaian ke atas beberapa faktor dibuat. 

Google ads
Back to top button