
PERODUA MYVI 1.5 ADVANCE DUA TONA
Sebagai sebahagian daripada kempen Love of the Nation, Perodua menawarkan harga istimewa bagi model Myvi 1.5.
Perodua menawarkan penjimatan sebanyak RM3,650 bagi model Myvi 1.5SE. Manakala model Advance pula melibatkan penjimatan sebanyak RM3,800. Tawaran berkenaan bermula 7 Mei sehingga 5 Julai.
Lebih menarik lagi, pengeluar automotif tempatan itu memperkenalkan dua tona warna bagi versi Advance. Kombinasi warna berkenaan ialah biru dengan bumbung berwarna hitam metalik yang diadun khas untuk mereka yang berjiwa muda. Harga model tersebut ialah RM55,118 seunit.
“Perodua Myvi kekal menjadi model terlaris dan kempen istimewa ini meraikan lagi kejayaan berkenaan.
“Setakat ini kami telah menjual 890,000 unit Myvi sejak diperkenalkan pada Mei 2005. Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjadikan Myvi sebagai pilihan melebihi 10 tahun,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Perodua turut melakukan rasionalisasi harga bagi barisan varian Myvi. Justeru, model terkini 1.3L Premium X (AT) dan Premium XS (AT) akan dihentikan.
Bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna, Perodua memperkenalkan tawaran alat ganti alternatif yang dinamakan sebagai ProGanti. Usaha itu dibuat untuk menggalakkan pemilik kenderaan Perodua menggunakan alat ganti yang berkualiti dan boleh dipercayai pada harga berpatutan.
Sebagai permulaan, ia akan memperkenalkan enam bahagian servis alat ganti paling biasa di bawah ProGanti yang diuji dan diedar oleh Perodua.
“Alat ganti ProGanti datang dengan jaminan enam bulan. Kami akan terus menambah bilangan alat ganti kepada 30 menjelang akhir tahun ini, “kata Aminar.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Myvi Love of The Nation dan servis alat ganti ProGanti, sila kunjungi pusat jualan Perodua yang berhampiran.