Buletin

PERODUA MYVI CATAT 20K TEMPAHAN, 4.5K SUDAH DISERAHKAN KEPADA PELANGGAN

Nampaknya permintaan terhadap Perodua Myvi terus memberangsangkan. Buktinya, tempahan sudah mencapai 20,000 unit dalam tempoh sebulan. Daripada jumlah tersebut, 4,500 unit telah diserahkan kepada pembeli.

“Fokus kami sekarang adalah untuk memastikan penghantaran Myvi dalam tempoh masa yang boleh diterima. Kami mengucapkan terima kasih kepada pengguna yang memilih Myvi,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Zahari Husin.

Selain Myvi, model-model lain Perodua masih diterima baik, terutama selepas Perodua menyediakan beberapa tawaran menarik. Sepanjang Disember, Perodua menawarkan rebat sehingga RM2,000 untuk Axia, Bezza dan Alza.

Perodua juga menjemput para pelanggan untuk mengunjungi bilik pameran dan pusat servisnya di seluruh negara menerusi kempen ‘Jom Singgah’. Kempen yang bermula hari ini hingga Ahada (8-10 Disember 2017) menjanjikan promosi istimewa. 

Dalam tempoh 11 bulan tahun ini, Perodua telah berjaya menjual sebanyak 184,707 unit kenderaan, naik 1.2 peratus daripada 182,485 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Google ads
Back to top button