Artikel Pilihan

SUBARU XT – PERMATA YANG HILANG

Nama Subaru memang sudah cukup sinonim dengan kereta-kereta sports berprestasi tinggi. Siapa tidak kenal dengan Subaru Impreza yang merupakan saingan terdekat Mitisubishi Evo suatu ketika dahulu. Bagi yang sudah berkeluarga mereka boleh memilih Subaru Forester yang lebih praktikal dan kini terdapat juga Subaru XV sebagai alternatif. Tapi sebenarnya Subaru mempunyai banyak lagi model lain yang menarik tetapi tidak begitu popular di Malaysia. Subaru XT ini contohnya yang cukup futuristik pada zamannya dan mempunyai reputasi yang cukup baik di negara luar tetapi jarang dilihat di Malaysia.

Berbeza dengan Impreza yang menakluk dunia dengan kelajuan hasil enjin turbo berasaskan jentera rali, XT lebih berpijak di bumi nyata dan boleh di bawa ke mana sahaja asalkan keluarga anda tidak besar. Rekaanya mengingatkan kita kepada Honda Prelude generasi kedua.

Ia direka oelh Giugiaro dan dikenali dengan nama Alcyone di Jepun dan Vortex di Australia dan New Zealand. Di bahagian lain dunia ini pula ia dikenali dengan nama Subaru XT.

Pengenalannya membuka lembaran baru Subaru yang sebelum ini dihasilkan untuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Ingat Subaru lama dahulu yang lebih kepada untuk kegunaan membawa barangan daripada membawa penumpang. Paling popular ialah versi wagon dan ute. Subaru bukanlah kegemaran peminat yang mahukan kereta moden satu ketika dahulu. Tapi kehadiran XT mengubah segalanya.

Menariknya ia diperkenalkan pada era 80-an, sama seperti Honda Prelude di mana unsur-unsur moden mula menjadi pilihan pengeluar untuk diterapkan kepada model-model mereka. Subaru turut memajukan sebuh konsep yang sarat dengan teknologi  termaju ketika itu dalam sebuah kereta. Apa sahaja perkakasan termaju yang ada pada masa tersebut disumbat ke dalam satu pakej kereta sport berbentuk tirus ini.

Konsep asal dinamakan ACX-II dan dipamerkan di Tokyo Motor Show tahun 1985. Ia menampilkan rekaan badan yang sangat sama dengan versi produksi XT. Ia kemudiannya dilengkapkan dengan enjin boxer flat-six dan sistem 4WD sepenuh masa untuk memastikan ia sehebat pesaing lain dari segi kuasa.

Bukan itu saja, ia turut dilengkapi dengan sistem pengawasan tekanan angin tayar (pada tahun 1985?),sistem navigasi dengan monitor CRT, papan pemuka digital, kemasukan tanpa kunci malah sebuah pencetak dot matrik yang boleh mencetak segala maklumat yang dikumpulkan oleh pengkalan data kereta.

Versi produksi kemudiannya muncul pada Februari 1985 dengan sedikit pengubahsuaian. Sistem navigasi dan pencetak semestinya tiada pada model sebenar tetapi sebahagian besar konsep dikekalkan. Antaranya ialah papan pemuka digital, sistem tanpa kunci, roda stereng boleh laras, pembasuh lampu hadapan, pengelap cermin depan tunggal, suspensi pneumatic, sistem 4WD kawalan butang dan rekaan badan yang futuristik.

Memang sebenarnya sebuah model sebenar dihasilkan seperti mana konsep tetapi kereta ini adalah satu daripadanya. Rekaannya yang paling aerodinamik pada zaman tersebut membolehkan ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan gangguan bunyi dari luar memasuki kabin.

BACA: SUBARU XV SERBA BAHARU – 2 VARIAN, HARGA BERMULA RM118,819 SEUNIT

Subaru merekanya berasaskan pengetahuan mereka dalam rekaan pesawat. Tengok sajalah susun atur papan pemuka dan pembuka pintunya dan canggih. Bukan itu sahaja, ianya berterusan di bahagian dalam di mana pemandu akan merasakan mereka berada di dalam kokpit pesawat. Semua butang di susun dengan kemas dan kedudukannya sukup selesa untuk capaian pemandu. Rasanya Subaru moden pun tidak secanggih ini susunannya. De Lorean Back to the Future pun tak sekemas ini.

Paling menonjol sekali tentulah paparan papan pemuka digital yang ada pada model XT Turbo. Ia kelihatan seperti akan memacu kereta ini ke kaki langit di ufuk barat atau timur.

Satu-satunya kekurangan kereta ini ialah pada enjinnya terutama pada model terawal. Enjin boxer EA82 merupakan enjin yang sama digunakan pada wagon GL. Terdapat juga versi turbo EA82T tetatpi kuasa yang dihasilkan hanya sekitar 110-115 hp sahaja.

Ia kemudiannya digantikan dengan enjin ER27 flat-six yang lebih bertenaga dan mampu menghasilkan 150 hp. Subaru XT6 yang dikatakan berada sekelas dengan pesaingnya seperti Toyota MR2, Celica GT-Four dan Mitsubishi Starion.

Inilah sebuah kereta yang dihasilkan dengan baik tetapi gagal menjadi sebuah kereta yang hebat dan sudah hampir dilupakan. Ia mempunyai berapa kekurangan tetapi begitu juga dengan model-model lain. Sayangnya ia sukar didapati kalau tidak ia boleh menjadi satu projek restorasi yang menarik.

GALERI:

Kredit Japanese Nostalgic Cars

Google ads
Back to top button