Buletin

PERODUA SUMBANG RM2 JUTA KEPADA NADMA. PASTIKAN KEBAJIKAN PEKERJA TERJAGA

Perodua turut serta dalam usaha melawan wabak COVID-19 dengan menyumbang RM2 juta kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selain sumbangan tunai, Perodua juga telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh untuk membantu perjuangan menentang pandemik ini.

“Perjuangan menentang COVID-19 ini adalah tanggungjawab yang dipikul kita semua. Sumbangan bekalan dan tunai oleh Perodua merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membantu Malaysia dapat pulih secepat mungkin,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Zainal menyampaikan sumbangan tunai kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pejabat Perdana Menteri sebentar tadi.

Tabung COVID-19 NADMA dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 11 Mac 2020 bagi membantu rakyat yang paling memerlukan bantuan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18hb Mac 2020.

Berdasarkan laporan, kumpulan sasaran tabung ini termasuk mereka yang tiada pekerjaan serta yang paling terkesan akibat PKP.

Kerajaan memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat baru-baru ini.

“Perodua telah mengarahkan semua kakitangan, pembekal automotif tempatan dan pengedar sah untuk memberi tumpuan kepada keperluan serta kebajikan kakitangan mereka sepanjang PKP.  Kami juga memantau kesan wabak ini ke atas ekosistem, selain memastikan gaji, faedah kerja dan pekerjaan warga Perodua terjaga. 

“Kami komited untuk mengamalkan penjarakan sosial seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa untuk membendung penyebaran virus ini. Kepada para pelanggan dan semua rakyat Malaysia, teruskan tinggal di rumah dan amalkan gaya hidup sihat,” kata Zainal.

Tags
Google ads
Back to top button