Buletin

SEBAT REMAJA DI KUNAK, ANGGOTA POLIS AKAN DIKENAKAN TINDAKAN

Polis Sabah hari ini menyatakan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan ke atas seorang anggota kerana didakwa menyebat sekumpulan enam remaja yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kunak, Sabah. 

Aksi agresif tersebut baru-baru ini tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ramai yang bersetuju dengan tindakan keras itu. Malah tidak kurang pula yang mempersoalkan kewajaran tindakan anggota polis berkenaan. 

Pesuruhjata Polis Sabah, Datuk Zaini Jass mengakui jika dilihat dari segi penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar. Namun dari segi moral, ia umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang tidak mendengar kata. 

“Sebelum kejadian itu berlaku, pegawai berkenaan sudah menegur sebanyak dua kali. Malangnya, kumpulan remaja tersebut tidak bersurai, malah mentertawakan teguran sambil menghisap rokok. Kejadian berlaku di Kampung Pangi Tengah, Kunak ketika pasukan polis membantu mengagihkan bantuan kepada penduduk kampung,” kata Zaini. 

Selepas selesai membuat agihan, polis sekali lagi terserempak dengan kumpulan remaja berkenaan. Mereka nyata tidak mendengar teguran yang membuatkan pegawai itu bertindak menyebat semua remaja terbabit. 

Menurut Zaini, pegawai itu akan dikenakan tindakan di peringkat jabatan. Beliau juga menyatakan remaja itu sebenarnya bernasib baik kerana tidak ditangkap dan sekadar diberi nasihat serta sebat. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button