Buletin

PERODUA TERIMA TEMPAHAN 1,000 UNIT BEZZA & AXIA

Perodua telah menerima tempahan 1,000 unit Bezza dan Axia sebagai pembelian fleet pertama bagi perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing.

“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa sebuah syarikat perkhidmatan ride-hailing dan sebuah syarikat perkhidmatan ride-sharing yang beroperasi di Malaysia telah menempah 1,000 unit Axia dan Bezza,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

Jualan fleet tersebut amat penting bagi Perodua kerana ia membuka pasaran baharu buat syarikat kereta kompak itu.

“Ini membuktikan kepercayaan syarikat-syarikat tersebut kepada kenderaan kami yang berkualiti, selamat serta mempunyai kos operasi yang rendah,” katanya.

“Perkembangan perkhidmatan ride-hailing dan ride-sharing di Malaysia telah merevolusikan pengangkutan rakyat Malaysia. Perodua amat berbangga menjadi sebahagian daripada usaha ini ke arah pengangkutan yang lebih cekap dan mapan untuk semua. Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan mereka,” kata Zahari.

Secara keseluruhan, lebih 300,000 Axia dan 100,000 Bezza telah dijual sejak dilancarkan pada 2014 dan 2016. Kedua-duanya merupakan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dan menguasai segmen kenderaan masing-masing.

Perodua baru-baru ini melancarkan varian baharu Bezza GXtra di Autoshow Malaysia 2018, yang diadakan pada 26-29 April di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS).

Menggantikan varian 1.0 Standard G, Bezza GXtra menawarkan spesifikasi trim setanding dengan 1.3 Premium X tanpa sebarang kenaikan harga. Jadi ia memberikan lebih nilai kepada pelanggan.

Google ads
"
"
Back to top button