BuletinMotosikal

PROJEK MOTOGP YAMAHA – PETRONAS HAMPIR JADI KENYATAAN

Kemungkinan besar dalam jangka masa terdekat khususnya di MotoGP Assen nanti akan ada perkhabaran terbaru tentang projek Yamaha-Petronas secara rasmi. Rundingan demi rundingan antara dua syarikat besar itu dikatakan sedang rancak dijalankan.

Ia merupakan hasil kerja keras Dato Razlan Razali, CEO Litar Antarabangsa Sepang dengan Petronas sebagai penaja utama dan Yamaha sebagai pembekal jentera perlumbaan. Pasukan ini juga akan diuruskan oleh Team Angel Nieto yang bukan lagi asing dalam MotoGP.

BACA: PROTON KR3 DALAM MOTOGP

Petronas yang merupakan peserta tetap dalam arena penajaan MotoGP memang dikenali cukup aktif dalam Moto2 dan Moto3 sebelum ini. Kini, mereka mengambil keputusan untuk naik kelas yang tentunya disokong oleh kedudukan syarikat ekonomi yang kuat.

Berdasarkan info yang berjaya dikumpulkan, fasa pertama projek Yamaha-Petronas ini akan berlangsung selama 3 tahun. Dijangkakan juga projek ini memakan masa keseluruhan selama 8 tahun bermula 2019-2026.

Pengemudi projek ini ialah Razlan sendiri yang merupakan orang nombor satu SIC. Walaupun beliau juga seorang pengurus pelumba termasuk Hafizh Syahrin, tetapi hakikatnya nama Hafizh Syahrin langsung tidak termasuk dalam projek terbaru beliau ini.

Tapi kenapa? Ia dikatakan berikutan perjanjian dengan KTM telah dimeterai sebelum projek Yamaha Petronas ini hendak dimulakan.

Carmelo Ezpeleta, CEO Dorna turut memainkan peranan dalam beberapa perkara yang berlaku dalam masa sebulan dua ini.

Antaranya ialah membuka jalan buat Jorge Lorenzo berpindah ke pasukan Honda ketika keadaan beliau seperti telur di hujung tanduk dalam kem Ducati. Ezpeleta ada berbincang dengan Dani Pedrosa tentang pasukan barunya. Beliau turut memujuk Yamaha agar sudi membekalkan jentera bagi pasukan baru seperti ini.

Namun sebenarnya, syarikat pengeluar motosikal yang berasal dari Jepun tersebut sejak dari awal bersetuju untuk menyertai projek ini. Malah mereka pernah berharap untuk memujuk Lorenzo agar turut serta.

Namun kini selepas Lorenzo menyertai pasukan pengeluar – Honda, mereka “terpaksa” menambah calon pelumba berbakat lain seperti Dani Pedrosa dan Franco Morbidelli.

Berkemungkinan besar Pedrosa dipilih kerana beliau mempunyai pengalaman berlumba yang cukup luas. Dikatakan juga, pengalaman beliau berlumba dengan pasukan naungan HRC memang cukup berguna dalam pasukan baru itu nanti.

Morbidelli juga satu watak yang cukup menarik kerana beliau merupakan anak didik Valentino Rossi menerusi Akademi Perlumbaan VR46. Dengan kelebihan yang ada selain bakal menggunakan motosikal yang sama dengan Rossi, Morbidelli dijangka memberi saingan sengit dalam perlumbaan pada masa akan datang.

Satu lagi pertanyaan yang bakal terjawab ialah apakah kelengkapan jentera yang akan disalurkan untuk pasukan lumba baru tersebut?

Adakah ia sama seperti pernah diperolehi oleh Tech3? Motosikal versi terakhir tahun sebelumnya yang kemudian akan dikembang dan dibangunkan .

BACA: ADA APA DENGAN PETRONAS, LORENZO DAN YAMAHA?

Desas-desus semakin kencang. MotoGP Assen minggu hadapan dikatakan menjadi tempat di mana Petronas akan menjelaskan bagaimana mereka menyertai dunia MotoGP. Antara persoalan yang akan menjadi tajuk asas ialah;

  1. Apakah mereka akan masuk sebagai penaja utama dari pasukan sedia ada ?
  2. Adakah mereka akan “menyewa” satu slot dalam pasukan seperti yang dilakukan Aprilia dengan team Gresini?
  3. Apakah mereka akan melangkah lebih jauh dan membeli sebuah pasukan MotoGP?

Secara tekniknya, melihat pada kedudukan grid MotoGP pada masa ini, ada 3 pasukan yang boleh disertai oleh Petronas Yamaha:

Pasukan Avintia, Marc VDS dan Pasukan Angel Nieto.

Avintia mungkin sebuah pasukan yang sangat kecil dan mereka juga berkait dengan Ducati yang memang tiada dalam perancangan Petronas.

Petronas boleh membeli satu tempat MotoGP dari pasukan Marc VDS sebagai alternatif yang baik.

Dan akhir sekali pasukan Angel Nieto yang merupakan pilihan terbaik yang ada pada masa ini.

sumber TMCBLOG

Google ads
Back to top button