Motosikal

SUPER MOPED MODENAS BATAL! MODENASAKI ON!

Masih berada di kilang pemasangan Modenas di Gurun Kedah, satu lagi berita yang enak dilaporkan hari ini ialah berita buruk dan berita baik tentang super kapcai modenas.

Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan motosikal super moped Modenas untuk bersaing dalam liga Yamaha Ysuku, Y16, Honda RS150, Honda RSX, SYM Vf3i 185 Pro sudah SAH dihentikan sepenuhnya.

Perkara itu dinyatakan sendiri Oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas,  Roslan Roskan dalam satu sesi soal jawab bersama media.

Projek yang telah dimulakan lebih 10 tahun lalu itu dibuat secara in house oleh Modenas bersama jurutera dan universiti di Austria itu terpaksa dihentikan separuh jalan. Meskipun kumpulan niaga DRB-HICOM telah melabur lebih RM10 juta seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini.

Keputusan itu bersandarkan kepada faktor ekonomi dan skala pengeluaran yang jelas tidak mampu memberi jaminan pulangan menguntungkan buat Modenas. Menjual hanya untuk pasaran dalam negara adalaj satu risiko yang sangat tinggi untuk dipertaruhkan.

Namun bersama rakan teknikal baru Kawasaki, tidak mustahil projek super kapcai akan kembali semula.

“Dengan kepakaran kawasaki serta kemampuan pasaran mereka, kami yakin untuk memulakan semula projek ini. Pasaran kapcai 150cc sangat besar,” kata Roslan

Ketua Pegawai Pemasaran Kawasaki, Yusaku Kashiwagi apabila ditanya tentang ini tidak menafikannya dan bersetuju bahawa bahawa mereka perlu masuk ke dalam liga ini.

Ditanya kenapa tidak menggunakan enjin sedia ada (Kawasaki ada enjin single 250cc yang boleh destroke menjadi 150cc), Kashiwagi memberitahu karekter enjin berkenaan tidak sesuai.

“Karekter enjin 250cc pada rpm rendah tidak responsif, kuasanya datang pada rpm tinggi dan pertengahan. Jadi, kita boleh destroke tetapi belanjanya sangat besar. Lebih baik bina enjin baharu dari awal,” jelasnya. 

Biar apa pun, masih terlalu awal untuk kita membuat spekulasi sama ada projek Modenasaki ini akan menjadi realiti atau sebaliknya. Ia pasti memerlukan lebih banyak penelitian sebelum dijalankan. 

Cuma, saya percaya peminat Modenas/Kawasaki tidak mahu menunggu terlalu lama. Apatah lagi ketika jenama lain sudah selesa menguasai pasaran kapcai berkuasa tinggi di Malaysia. Bak kata orang, penantian memang satu penyiksaan.

Google ads
Back to top button