Buletin

KAPAL KONTENA TERBESAR DUNIA BERLABUH DI BRITAIN. SAMA BESAR EMPAT PADANG BOLA

Sebuah kapal kontena terbesar di dunia yang menyamai saiz empat padang bola sepak tiba di Pelabuhan Felixstowe, Suffolk, lapor akhbar Metro UK.

Kapal dikenali sebagai Ever Ace itu adalah milik syarikat sama yang memiliki Ever Given. Kapal Ever Given mencetuskan insiden Terusan Suez tersekat pada Mac lalu.

Ketibaan Ever Ace sangat dinanti-nantikan apabila lebih 100 pekerja pelabuhan mengerumuni kawasan pelabuhan sebaik sahaja ia memasuki muara Sungai Orwell awal pagi kelmarin.

Tiada maklumat tepat tentang isi kontena yang dibawa oleh Ever Ace namun dipercayai majoriti barangan tersebut adalah produk yang dihasilkan di Asia Timur.

Kapal  itu dijadualkan meneruskan perjalanan ke bandar Hamburg, Jerman lusa.

Empat bot tunda terpaksa digunakan untuk membantu Ever Ace berlabuh di ruangan yang disediakan dengan mengambil masa satu jam.

Kapal seberat 235,579 tan itu dibina tahun lalu untuk syarikat perkapalan berpangkalan di Taiwan, Evergreen Marine.  Ever Ace memiliki panjang 400 meter dengan lebar  61.5 meter.

Kapal  berdaftar di Panama itu boleh memuatkan 23,992 buah  kontena iaitu melebihi  26 kontena berbanding kapal kontena terbesar sebelumnya, HMM Algeciras.

Jika kargo Ever Ace perlu diangkut menggunakan pesawat, sebanyak 1,400 jet jumbo diperlukan untuk menerbangkannya. – KOSMO!

Google ads
Back to top button