
MENUNGGANG BAGASI PINTAR DI JALAN RAYA, POLIS THAILAND AMBIL TINDAKAN TEGAS
Menaiki atau menunggang beg pakaian bermotor (bagasi pintar) di jalan raya awam adalah melanggar undang-undang,” kata Polis Bahagian Trafik Thailand, semalam, sebagai respon terhadap satu klip video tular yang mencetuskan kritikan awam di media sosial, awal minggu ini.
Klip video terbabit, yang dimuat naik di halaman Facebook pengguna Social Hunter 2022, memaparkan seorang wanita sedang menaiki beg pakaian bermotor di Jalan Vibhavadi Rangsit yang sibuk di Bangkok berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang.
Wanita itu dilihat dengan santai bermain telefon bimbit sambil bergerak dengan pantas di jalan raya tanpa memakai helmet.

Video itu cepat menjadi viral, dengan netizen mengkritik kurangnya perhatian terhadap keselamatan semasa berada di jalan raya awam.
Ada juga yang mempersoalkan mengapa pegawai polis tidak menghentikan aktiviti itu yang boleh menyebabkan kemalangan.
Polis berkata, mengikut Akta Kenderaan dan Akta Trafik Jalan Raya 1979, beg pakaian (bagasi) tidak dianggap sebagai kenderaan.
Ia tidak boleh didaftarkan sebagai kenderaan dan digunakan secara sah di jalan raya awam.
Menggunakan objek bukan kenderaan di jalan raya awam dianggap sebagai ‘menghalang lalu lintas’, melanggar Akta Trafik Jalan Raya, tambah polis.
Polis trafik berkata siasatan mendapati wanita dalam video terbabit adalah seorang pelancong China yang telah meninggalkan negara pada 22 Ogos lalu. – Berita Harian

