
PROTON e.MAS 7 BUAT PENAMPILAN UMUM PERTAMA PADA 31 OGOS INI
Model EV pertama jenama automotif nasional, PROTON e.MAS 7 akan membuat penampilan awam pertamanya pada Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67, 31 Ogos ini.
Model EV berkenaan telah dipratonton kepada media pada 2 Ogos, dan kini, ia akan muncul dengan motif penyamaran khas mewakili warna Jalur Gemilang, sebagai sebahagian daripada kontinjen 25 kereta yang menampilkan pelbagai model Proton.
PROTON, yang kini berumur 41 tahun, merupakan sebahagian penting dalam sejarah Malaysia dan kisah perindustrian ekonomi negara.

Perarakan Hari Kebangsaan adalah peluang keemasan untuk syarikat mempamerkan kemajuan yang telah dicapai sepanjang empat dekad.
Barisan 25 kereta syarikat akan merangkumi pelbagai model, bermula dari Proton Saga asal hingga Proton X70 2025, yang telah dilancarkan hanya dua minggu lalu.
Selain penampilannya di perarakan, aktiviti pengujian dan penyesuaian iklim untuk PROTON e.MAS 7 semakin giat dijalankan selepas debut medianya.
Kereta ujian yang disamarkan sering kali dilihat oleh orang ramai kerana program pengujian ketahanan, pengecasan, pemanduan, dan perisian terus dijalankan untuk memastikan EV nasional pertama Malaysia memenuhi keperluan serta jangkaan pelanggan masa depannya.
“Kami telah mengambil keputusan untuk menyertakan PROTON e.MAS 7 dalam barisan perarakan kami walaupun ia belum dilancarkan, bagi membolehkan orang awam melihat model EV pertama syarikat dengan lebih dekat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong.
“Oleh kerana model ini bukan kenderaan pengeluaran akhir, ia akan dipamerkan dengan menggunakan motif penyamaran, tetapi dalam semangat Hari Kebangsaan, kami telah memilih warna-warna yang mewakili bendera Malaysia,” tambahnya.