
FIRST CLASS SPRINTER DARI CLIVE SUTTON, 7 PENUMPANG DALAM KEMEWAHAN, RM1.3 JUTA!
Artikel mengenai Mercedes-Benz Sprinter baru sahaja diterbitkan dan tidak sampai sehari Clive Sutton mengumumkan model ubah suai First Class Sprinter untuk tujuh penumpang.
Clive Sutton sebelum ini menawarkan VIP Class Sprinter yang boleh memuatkan sembilan penumpang dan menikmati suasana dan perkakasan mewah.
First Class Sprinter untuk tahun 2025 tampil dengan kelengkapan teknologi tinggi dan ultra mewah bagi menyamai penerbangan kelas pertama.
Clive Sutton melengkapinya dengan sepasang skrin 43 inci 4K, sistem audio pawagam sekeliling dan lampu suasana yang semuanya boleh dikawal melalui antara muka Crestron.
Lagi kelengkapan seperti dua peti sejuk minuman 35 liter dan 21 liter, bumbung kaca panoramik saiz besar dan seperti biasa kemasan kayu.
Kerusi individu dibalut kulit yang menyerlahkan kemewahan selain nampak begitu selesa dan mempunyai fungsi larasan elektrik pada bahagian kaki, gelangsar dan rebahan.
Turut dilengkapi fungsi pemanasan dan penyejukan, urutan dan sokongan belakang.
Kemewahan bukan sahaja untuk penumpang belakang tetapi juga pemandu dan penumpang sisi dengan kerusi balutan kulit, karpet penuh, kemasan kayu dan pelapik bumbung suede Milano.
Ruang belakang dengan kapasiti 15,000 liter dipasang dinding pemisah kawalan elektronik untuk kegunaan peribadi seperti mesyuarat dan perbincangan.
Penumpang menikmati ruang kabin dengan keluasan 7.88 meter persegi dan walaupun dilengkapi tujuh kerusi masih terdapat ruang yang luas untuk bagasi.
Skrin besar di belakang juga boleh digunakan untuk permainan konsol. Cermin gelap dijadikan ciri asas.
Clive Sutton tidak memperincikan rangkaian kuasa dan Sprinter secara umumnya digerakkan enjin 2.0 liter diesel turbo dengan pelbagai peringkat kuasa.
Harga? Bermula daripada 230,000 pound (RM1,323,098) termasuk VAT.
Seperti yang dinyatakan, Clive Sutton turut menawarkan VIP Class Sprinter dan ada beberapa lagi kenderaan penumpang mewah seperti VIP London Taxi atau citarasa Jepun melalui Lexus LM350 VIP.









































