Artikel Pilihan

PESANAN PEMANDUAN MUSIM RAYA, KERACUNAN KARBON MONOKSIDA

Keselesaan Yang Merbahaya : Tidur Dalam Kenderaan Ketika Enjin Dihidupkan.
Azad Jasmi l
——————————-
Saya yakin hampir semua pemandu yang pernah memandu secara jarak jauh melebihi 6 jam perjalanan pernah terasa mengantuk dan letih, terutama yang memandu dengan melibatkan durasi waktu tidur iaitu antara 10 malam sehingga 6 pagi.

Jadi kita mungkin akan mengambil sekejap masa rehat di tempat parkir pada R&R untuk lelap. Namun terdapat risiko yang tinggi apabila tidur dengan enjin kenderaan yang dihidupkan.

Terdapat pelbagai kes di dalam dan luar negara yang menyebabkan kematian. Saya juga ingin sarankan pada pihak PLUS dan Pemilik mana-mana lebuhraya untuk mempamirkan papan tanda pada bahagian depan setiap lot parkir dengan perkataan seperti :-

“Matikan Enjin Kenderaan Anda dan Jangan Tidur Ketika Enjin Dihidupkan. Ia Boleh Membawa Maut.”

Jadi kenapa bahayanya tidur ketika enjin dihidupkan? Saya ingin berkongsi secara santai agar dapat manfaat kepada kita dan juga boleh disampaikan kepada rakan-rakan atau saudara mara kita.

Jika perlu maklumat lanjut, anda boleh membaca pelbagai lagi artikel dan kajian yang berbentuk teknikal, namun saya ingin memberikan penerangan dalam situasi yang lebih kasual.

1. Kemungkinan Berlaku Kebocoran Ekzos Yang Kecil Tanpa Kita Sedar Walaupun Kenderaan Baru. Apabila enjin dihidupkan, proses bahan bakar di dalam enjin kenderaan boleh hasilkan banyak gas yang tersasar melalui paip ekzos.

Asap ekzos ini mengandungi gas yang merbahaya seperti karbon monoksida, hidrokarbon, dan nitrogen oksida.

Kemungkinan berlaku kebocoran ekzos yang menyelinap masul ke kabin kenderaan kereta ke dalam kabin kenderaan tanpa kita sedar secara sedikit demi sedikit melalui ruang bawah, ruang pintu, ruang “fire wall” atau dinding antara kabin dan enjin serta ruang-ruang kecil.

Dengan berlaku peningkatan tahap gas karbon monoksida (CO) di dalam kabin, ini secara relatif telah menurunkan paras oksigen di dalam kabin kenderaan, lalu meningkatkan risiko sesak nafas dan kematian.

2. Jika Tingkap Dibuka Juga Merbahaya

Ada pandangan menyatakan jika saya membuka tingkap pasti ok kerana ada oksigen masuk. Walaupun dengan tingkap dibuka karbon monoksida tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah.

Kesannya mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa. Apabila kenderaan tidak bergerak, asap kenderaan yang keluar dari paip ekzos akan bergerak disekitar kenderaan dan kemungkinan memasuki melalui ruang tingkap yang dibuka.

3. Kenapa jika memandu tiada risiko keracunan karbon monoksida?

Pertama kerana apabila kita memandu, kenderaan bergerak ke hadapan dan pergerakan kenderan menjadikan gas-gas “ditinggalkan” ke belakang dengan meluncurnya kenderaan ke hadapan. Kedua, kita juga akan sedar jika terdapat perubahan suhu dalam kabin dan akan sedar jika terdapat kebocoran dengan bau atau terasa loya.

Jika kita mula merasa tidak selesa, kita akan segera bertindak mungkin membuka tingkap, menutup penghawa dingin atau mengubah butang udara luar masuk dan sebagainya. Pendek kata kita aktif untuk selesaikan isu ketidakselesaan.

Bagaimanapun, dalam kes tidur dalam kereta, seseorang itu tidak sedar dengan paras suhu yang membolehkan kepanasan terbentuk dan CO yang terkumpul. Namun saya nak cadangankan anda dapatkan rehat yang cukup.

Jika anda memandu pada waktu malam dan melewati waktu awal pagi, kita sudah meredah hukum alam iatu waktu tidur. Jika anda tidur dengan enjin dimatikan dan membuka tingkap, anda pula mungkin terdedah dengan isu penjenayah yang cuba mengambil kesempatan.

Ada juga isu penjahat membocorkan tayar kenderaan dan mencucuk radiator kenderaan dan apabila kenderaan rosak penjenayah menghampiri anda. Ada juga kes kenderaan dicucuk radiator dan tayar dan anda terpaksa menggunakan “khidmat” mekanik yang telah dirancang dan bayaran yang dikenakan terlalu tinggi.

Sekiranya sudah tidak dapat meneruskan pemanduan kerana terlalu mengantuk, tutup enjin dan buka tingkap sekiranya mahu melelapkan mata dalam kereta serta cari tempat parkir yang ada ramai orang atau di depan tempat yang cerah.

Mungkin ada juga yang menyoal dengan menyatakan “Aku tidur dalam kereta masa enjin hidup OK saja.” Jika diikut memanglah kematian itu ditangan Tuhan. Namun saya ingin jelaskan dari segi konsep kerana tahap ketahanan individu itu terhadap karbon monoksida tidak sama.

Ada orang makan cili satu sudu sudah kena cirit birit dan ada pula satu orang makan cili satu pinggan pun masih ok. Walaupun berlaku kes kematian yang tidak tinggi seperti kemalangan lain, elok lah kita ambil iktibar dari musibah ini.

Saya pasti lebih ramai pakar di luar sana yang mampu berikan maklumat yang lebih terperinci dengan data saintifik. Tetapi apa yang saya cuba sampaikan adalah dalam nada yang kasual untuk lebih mudah difahami.

Jika anda masih nak teruskan tidur dengan enjin dihidupkan itu, tidak ada sesiapa boleh menghalang anda.

Yang baik dari Allah dan buruk itu dari saya sejujurnya.

Google ads
Back to top button