Buletin

BELAJAR KAWAL GR COROLLA DENGAN DRIFTER KEN GUSHI. TUNJUK AJARKU SIFU!

Tahun 2022 menyaksikan kebangkitan Toyota dalam menawarkan pelbagai produk pantas yang sangat menarik perhatian (dan bakal mengeringkan akaun bank anda).

Tidak semua orang mampu mengawal kereta dengan baik, jadi drifter tersohor Ken Gushi tampil di dalam video terbaharu AutoGuide.com untuk memberikan tunjuk ajar untuk mengawal GR Corolla baik di atas litar mahupun di laluan bertanah.

Dalam video tersebut, Ken Gushi menjelaskan beberapa asas perlumbaan yang diperlukan untuk kedua-dua jenis litar, seperti asas membrek, cara mengambil selekoh, serta membezakan kawalan kenderaan di atas litar biasa dan laluan bertanah.

Beliau juga turut memberikan tunjuk ajar bagaimana cara untuk melakukan teknik heel-and-toe serta brek kaki kiri yang mampu memendekkan lagi masa pusingan.

Berbanding Corolla standard, GR Corolla hadir dengan bermacam teknologi dan naik taraf, dimulakan dengan nadi GR Yaris yang telah ditala semula supaya mampu menjana kuasa 300 hp dan 270 Nm, diikuti transmisi manual dan sistem pacuan semua roda GR-Four.

Selain itu, platform asal GA-C telah diubahsuai dengan penambahan poin kimpalan serta penggunaan perekat struktur untuk tahap ketegaran casis yang lebih tinggi, serta penggunaan bahan aluminium untuk menjimatkan lagi berat sedia ada.

Google ads
Back to top button