QATAR AIRWAYS DAN AIRBUS BERGADUH SEBAB CAT PESAWAT A350 TERKOPEK. TUNTUT GANTI RUGI RM28 BILION
Qatar Airways sekali lagi menerima tamparan hebat daripada Airbus apabila kedua-duanya terus bertelagah berikutan masalah cat pada pesawat A350.
Airbus mengesahkan bahawa ia telah membatalkan semua tempahan Qatar Airways untuk pesawat A350. Tempahan tertunggak termasuk 19 jet berbadan lebar dan Airbus berkata ia percaya syarikat penerbangan itu tidak lagi mahu memenuhi kontrak itu selepas enggan menerima penghantaran dua A350 pada Februari.
Walaupun Airbus berkata QatarAirways tidak mahu menerima pesawat berkenaan, syarikat penerbangan itu mendakwa Airbus yang membatalkan tempahan itu. Bagaimanapun, Qatar sebelum ini berkata ia akan menolak sebarang penghantaran pada masa hadapan sehingga Airbus menyediakan analisis penuh punca masalahan cat tersebut.
Airbus juga dikatakan membatalkan 50 pesanan Qatar untuk A321neo pada bulan Januari. Keputusan Airbus untuk menafikan baki tempahan A350 dibuat ketika kedua-dua syarikat itu bertelagah mengenai keadaan cat yang terkopek. Isu itu didakwa menjadi antara punca yang memusnahkan hubungan di antara kedua-dua syarikat berkenaan.
Pada Ogos 2021, Qatar menggantung sementara perkhidmatan jet A350 kerana wujud kebimbangan mengenai isu cat yang didakwa menimbulkan ancaman kepada keselamatan dan kelayakan penerbangan. Sehingga Jun 2022, ia telah menghentikan perkhidmatan 23 unit pesawat A350.
Beberapa syarikat penerbangan lain, seperti Etihad Airways dan Delta Air Lines turut berdepan masalah cat yang sama pada model A350. Tetapi, mereka tidak membuat tuntutan seperti Qatar atau mengatakan kerosakan itu memberi ancaman keselamatan.
Sejak Qatar membangkitkan kebimbangan mengenai A350, Airbus dan syarikat penerbangan itu menemui jalan buntu untuk menyelesaikan isu terbabit. Airbus telah berulang kali memberitahu Qatar bahawa cat yang rosak itu hanyalah bersifat kosmetik.
Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah menyokong Airbus dengan mengatakan cat itu tidak menjejaskan kelayakan untuk terbang.
Walaupun Airbus telah memberikan panduan yang diperlukan kepada pelanggan Qatar masih tidak berpuas hati dengan maklum balas itu. Akibatnya, Qatar menyaman Airbus di Mahkamah Tinggi London dan menuntut ganti rugi berjumlah AS$618 juta (RM28 bilion).
Perbicaraan akan berlangsung di UK pada musim panas depan. Mahkamah juga memberitahu Airbus ia boleh menjual A350 yang tidak dihantar itu kepada syarikat penerbangan lain seperti Air India.