
TUNGGANG SKUTER DALAM TREK DI GP AUSTRALIA, VETTEL DIDENDA RM23K
Sebastian Vettel didenda sebanyak €5,000 akibat RM22,957 selepas melanggar peraturan menunggang skuter di trek di Grand Prix (GP) Australia.
Juara dunia empat kali itu menaiki skuter untuk kembali pulang ke paddock selepas jentera Aston Martin yang dipandunya sebelum itu rosak dalam sesi latihan pertama di Albert Park.
Pelumba berusia 34 tahun itu kelihatan menunggang dengan keadaan santai di dalam trek sambil tersenyum dan melambai tangan kepada penonton tatkala jentera lain sudah kembali ke pit.
Ada satu ketika dia juga kelihatan sengaja melepaskan tangannya tanpa memegang handal skuter berkenaan. “Ini adalah pengakhiran paling ikonik sesi latihan yang boleh kita terkenang nanti,” jelas akaun Twitter rasmi Formula Satu (F1).
Bagaimanapun, badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memandang serius perkara berkenaan dan mendapati Vettel melanggar peraturan sukan berkenaan ‘yang melarang sesiapa berada di trek dalam tempoh lima minit selepas tamat sesi, kecuali kakitangan yang dikenal pasti secara khusus.
Ia bukan permulaan hujung minggu yang Vettel inginkan selepas terlepas dua perlumbaan pembukaan musim ini akibat Covid-19. – Harian Metro