" "
BuletinMotosikal

“RAMAI FIKIR KAMI SILAP WAKTU PILIH QUARTARARO”-DATO RAZLAN

Hanya setahun selepas ditubuhkan, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) menjadi pasukan satelit yang paling menonjol dalam perlumbaan MotoGP musim 2019.

Menjelang setahun lagi di litar Silverstone, Britain tahun depan, Pengurus Pasukan Dato Razlan Razali meletakkan sasaran untuk mendapat kemenangan pertama buat pasukan tersebut.

PENCAPAIAN LUAR BIASA

12 pusingan berlalu menyaksikan persembahan menakjubkan bagi pelumba Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli. Pencapaian mereka di luar jangkaan pasukan tersebut.

“Kami sendiri tak menjangkakan mereka akan memberi posisi yang sangat bagus dalam 12 pusingan musim ini,” ujar Dato Razlan.

“Kami berharap Morbidelli untuk menamatkan perlumbaan di posisi enam terbaik dan Quartararo dinobatkan pelumba rookie terbaik tahun ini. Kami tak jangka mereka boleh ke tahap ini dan sudah tentu kami sangat gembira dan berpuashati dengan prestasi mereka.”

“Tak dinafikan, kejutan terbesar datang dari Quartararo,” Razlan menambah.

“Bila kami umumkan beliau sebagai pelumba kedua pasukan ini, ramai yang memberitahu kami buat pilihan yang salah – tapi sekarang semua orang setuju kami buat keputusan yang tepat!

“Beliau catat keputusan menakjubkan dengan kejayaan podium, kedudukan grid permulaan, 10 terbaik dan 5 terbaik. Beliau memang hebat dan berbakat.

“Menduduki grid hadapan dan petak kedua di perlumbaan Eropah pertamanya di Jerez benar-benar satu pencapaian yang luar biasa.”

“Tapi kejayaan ini bermakna kami perlu letakkan sasaran lebih tinggi pada 2020.

“Tahun depan kami telah meletakkan penanda aras baru untuk pasukan ini. Jadi, ia ada lebih tekanan pada kami untuk tahun kedua,” tambah Razlan.

“Sudah tentu kami mahu lakukan lebih baik dan saya yakin kedua-dua pelumba akan terus lakukan yang terbaik.

“Saya harap, apabila sampai waktu yang sama tahun hadapan kami dapat mengutip sekurang-kurangnya satu kemenangan MotoGP.

“Apabila anda sudah merasai kemenangan besar seperti podium, grid depan atau kemenangan, anda mahukan lebih lagi. Tapi, tak kira apa juga pencapaian kami, matlamat kami kekal sama dan penting untuk kekal fokus pada objektif.

Quartararo, Morbidelli, Spanish MotoGP 2019 – kredit foto :sepang racing team

“Saya benar-benar berharap dapat menang podium di Gran Prix Sepang!”

Dalam perlumbaan minggu lalu, Quartararo gagal meneruskan perlumbaan apabila terbabas di selekoh pertama. Namun dalam ujian bebas di Misano, beliau adalah pelumba terpantas di kedua-dua hari minggu lalu (Dan Morbidelli juga berada di kedudukan tiga terbaik).

Google ads
Back to top button