" "
BuletinMotosikal

PETRONAS SRT INTAI ALEX MARQUEZ UNTUK MUSIM 2020

Ditubuhkan pada 2015, SIC Racing Team berkembang pada tahun ini menerusi penyertaan mereka dalam kelas premier apabila bergandingan dengan Petronas. Dikenali sebagai Petronas SRT, pasukan kebanggaan negara ini menyertai setiap kelas dalam MotoGP mulai tahun ini.

Prestasi mereka bersama Yamaha dalam kelas Premier juga mengejutkan ramai pihak.

Menerusi pelumba muda Fabio Quartararo dan Morbidelli, pasukan yang baru setahun jagung ini mencatatkan banyak keputusan menakjubkan, mendapat podium, mengetuai grid perlumbaan dan juga kutipan mata yang kosisten sepanjang musim berlangsung.

Quartararo, Morbidelli, Spanish MotoGP 2019 – kredit foto :sepang racing team

Menurut laporan Motorsport.com, Petronas SRT sedang mengintai peluang untuk membawa masuk adik Marc Marquez, iaitu Alex Marquez bersama pasukan mereka untuk tahun 2020. Ia bagi memperkuatkan lagi barisan pelumba kelas Moto2.

Alex Marquez memang dilihat antara pelumba berbakat era Moto2 sejak beberapa tahun lalu. Selepas pusingan di litar Brno, Republik Czech, beliau mendahului kutipan mata keseluruhan dalam Moto2.

Alex mencatatkan kemenangan kelimanya dengan jurang mata selesa 33 poin mengatasi Tom Luthi yang terbabas dalam perlumbaan.

Beliau yang berkhidmat bersama pasukan Marc VDS sejak menyertai Moto2 pada 2015 telah mencatat tiga kemenangan utama dan 13 kedudukan podium.

Meskipun pernah dikaitkan dengan pasukan Pramac Ducati MotoGP pada awal tahun ini, Alex Marquez dalam satu kenyataan telah membuat keputusan untuk kekal dalam saingan kelas Moto2 tahun depan meskipun berpeluang untuk naik ke kelas premier MotoGP.

Dengan prestasi semasa Jorge Lorenzo yang kurang menyerlah serta posisi Takaaki Nakagami dalam pasukan satelit Honda LCR yang tak konsisten, sebelum ini Alex seringkali dilihat calon paling layak memperkuatkan barisan pelumba jentera Honda.

Melihat gandingan Alex dan Marc dalam pasukan Honda Repsol mungkin sejarah baru kejohanan MotoGP dunia.

Pun begitu, sehingga kini, potensi kemasukan Alex Marquez ke pasukan Honda LCR masih kabur akibat beberapa faktor “luaran” yang belum diselesaikan.

Beberapa minggu lalu, pengurus Alex Marquez, Emilio Alzamora dikatakan sedang berunding dengan pasukan Marc VDS Moto2 berkenaan pembaharuan kontrak malah pasukan itu juga didakwa masih mahu mengekalkan Alex.

BERITA TERBARU

Namun ada satu kejutan lagi. Dalam satu laporan terbaru Autosport.com semalam, Marquez dikatakan telah menerima tawaran saat akhir dari Petronas Sprinta team, yang kini sedang menggunakan khidmat Khairul Idham Pawi.

Petronas Sprinta dikatakan sedang merancang untuk menambah satu lagi jentera tahun hadapan – untuk Alex Marquez bagi menambah slot mereka dalam saingan Moto2.

SELANGKAH KE KELAS PREMIER MOTOGP

Jika ke pasukan Petronas, Alex hanya selangkah untuk bertarung dalam kelas MotoGP bersama jentera Yamaha menerusi Petronas Yamaha SRT pada 2021.

Sudah tentu ia menjadi satu pertandingan yang epik, pertarungan adik-beradik dari dua kem jentera yang berbeza (dan bermusuhan!)

Seperti yang diisyaratkan kebanyakan media permotoran Eropah, sekiranya ini berlaku, Alex akan terjun ke kancah kelas premier MotoGP seawal 2021 dan ia akan jadi pertarungan yang sangat menarik.

Pada hari ini, kita dapat melihat Honda RC213V bersama Marc Marquez hampir tidak tercabar langsung. Kalau tak jatuh, jangan harap lah Marquez tidak ke podium. Beliau memang sangat berbakat dan era penguasaannya masih panjang.

Ditanya tentang kemungkinan besar Alex Marquez akan ke kem Yamaha MotoGP (Petronas SRT) pada 2021, bos pasukan Yamaha, Lin Jarvis memberitahu:

“Melihat Alex Marquez dalam MotoGP menunggang Yamaha dan abangnya Marc menunggang musuh kami Honda memang sesuatu yang aneh”.

Google ads
Back to top button