Pandu Uji

PROTON EMAS 7 PHEV – BUKAN LAGI UNTUK ORANG KAYA

Satu ketika dahulu, kalau bercakap berkenaan SUV plug-in hybrid (PHEV) dari Eropah, ia hanya ditawarkan dengan harga permulaan yang menjangkau RM300,000. Teknologi PHEV memang canggih, membolehkannya dipandu seperti EV dalam bandar dan bertukar menjadi hybrid HEV ketika perjalanan jarak jauh tanpa perlu risaun mencari pengecas.

Masalahnya ialah pada harga permulaan RM 300,000 ia bukanlah ideal untuk kebanyakan pengguna di Malaysia yang berpendapatan sederhana. Namun pada hari ini situasi itu berubah dengan kemunculan Proton eMas 7 PHEV pada harga permmulaan sekitar RM109,000 sahaja.

Ia merubah lanskap pemilikan kenderaan berteknologi tinggi yang sebelum ini nampak eksklusif menjadi kategori mampu milik. Selepas memandu uji, penulis berpandangan yang model ini cuba menawarkan keseimbangan antara pengalaman EV, praktikaliti hybrid dan keselesaan SUV keluarga moden.

Dari segi saiz, Proton e.MAS 7 Prime Plus boleh dikategorikan sebagai SUV segmen C. Panjang keseluruhan mencecah 4,740 mm dengan lebar 1,940 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda 2,755 mm. Berbanding model e.MAS 7 EV, ia juga 125 mm lebih panjang, 39 mm lebih lebar dan 15 mm lebih tinggi.

Atas jalan, dimensi ini terus memberi kehadiran yang agak premium dan sporti dengan bahagian hadapan tampil lebih panjnag dan tajam menerusi rekaan bampar dan lampu yang nampak agresif, manakala belakang pula mempunyai identiti tersendiri dengan elemen rekaan lampu yang lebih unik.

Profil sisi pula membuatkan SUV ini nampak panjang dan sedikit sporty, terutama dengan hud hadapan yang kelihatan lebih memanjang. Rekaan rim 19 juga berbeza dengan model EV dan lebih menarik untuk dipandang. Secara keseluruhan, sekitar 95% rekaannya masih sama seperti model Geely asal, cuma Proton melakukan sedikit sentuhan identiti menerusi logo, bampar serta pilihan rim.

Secara peribadi, rupa Prime Plus ini memang sedap dipandang dan nampak lebih matang berbanding kebanyakan SUV China dalam julat harga sama.

Untuk ruangan kabin, suasananya hampir sama seperti versi EV penuh. Ini sebenarnya langkah bijak untuk menjimatkan kos pengeluaran kerana Proton tidak perlu mereka bentuk kabin baharu sepenuhnya dan berkongsi sahaja dengan model EV

Namun apa yang penting, kabin ini tetap terasa moden dan premium menerusi penggunaan sistem audio menggunakan 16 pembesar suara Flyme, dipadankan dengan kluster meter digital 10.2 inci dan skrin infotainmen besar 15 inci yang menjalankan sistem operasi Flyme OS.

Apa yang menarik ialah Proton masih mengekalkan beberapa butang fizikal penting seperti kawalan pendingin hawa, volume audio dan sunroof. Walaupun nampak remeh, tetapi ketika memandu ia jauh lebih praktikal berbanding semua fungsi disumbat ke dalam skrin.

Antara perkara yang menarik perhatian penulis ialah kehadiran butang khas untuk kembali terus ke Android Auto, sesuatu yang ramai pengguna pasti hargai dalam paparan skrin. Paparan HUD juga membantu pemanduan, manakala pengecas telefon tanpa wayar dan susun atur kabin keseluruhan terasa kemas dan mudah digunakan.

Ruang belakang juga luas dengan menawarkan ruang kaki yang luas. Cuma rekaan kusyen tempat duduk belakang terasa sedikit nipis, pendek dan kecil berbanding SUV segmen lebih mahal. Namun untuk kegunaan keluarga biasa, ia masih memadai.

Bahagian but pula cukup praktikal dengan kapasiti 528 liter dan boleh diperluaskan sehingga 2,065 liter apabila tempat duduk dilipat. Menariknya, ada juga ruang laci tambahan di bahagian kaki dan pintu tailgate berkuasa elektrik.

Bahagian paling menarik pada Prime Plus ialah trenkuasa ini sendiri.

Enjin yang digunakan ialah unit 1.5 liter empat silinder dengan talaan Atkinson sepenuh masa. Asas enjin ini berkait rapat dengan keluarga enjin Saga baharu iVT, tetapi diubah suai untuk operasi lebih cekap menggunakan sistem suntikan PFI, Single VVT dan sistem EGR yang lebih efisyen.

Jadi enjin hanya menghasilkan 99 PS dan 125 Nm, tetapi disokong oleh motor elektrik yang jauh lebih berkuasa dengan hamburan 218 PS dan 262 Nm. Ini menjadikan pengeluaran kuasa gabungan sistem mencecah 262 PS dan 262Nm tork

Apa yan menarik, enjin ini tidak menggunakan tali sawat aircond dan alternator konvensional, menjadikan operasi lebih moden dan efisien. Bateri 29.8 kWh pula memberikan jarak pemanduan EV sekitar 146 km mengikut kitaran NEDC. Untuk pengecasan DC, eMas 7 menyokong sehingga 60 kW dan mampu mengecas dari 30 ke 80 peratus dalam sekitar 16 minit sahaja.

Sistem transmisi pula menggunakan DHT dengan operasi klac yang akan memberi kuasa pada roda ketika kelajuan tinggi. Dalam penggunaan sebenar, sistem ini boleh bertukar antara mod EV penuh, siri hybrid, parallel hybrid, direct drive dan juga range extender secara automatik.

Dan jangan sangka prestasi eMas 7 PHEV ini lemau kerana SUV hibrid ini mamu memecut dari 0-100 km/j sekitar lapan saat sahaja. Dengan satu isian tangki penuh dan bateri penuh, Proton mendakwa jarak perjalanan keseluruhan boleh mencapai sehingga 996 km.

Ketika dipandu dalam mod EV, Power dan Hybrid, peralihan kuasa berlaku dengan lancar. Penggunaan bahan api rasmi sekitar 20.83 km/l pula, menjadikan sekiranya dikira semula eMas 7 mampu dipandu sejauh 1066km untuk satu isian penuh dan satu pengecasan penuh

Cuma penulis rasakan ada sedikit kelewatan pada respon pedal, selepas ditekan ketika mula mula bergerak dari statik. Mungkin pada ketika itu sistem sedang memilih antara mod EV dan hybrid. Ia bukan masalah besar, tetapi tetap boleh dirasai.

Sistem brek pula ditala dengan agak sensitif dan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Modulasi pedal perlu dipelajari kerana rasa “keras” itu memang ketara pada awal pemanduan. Namun untuk berlaku adil operasi brek mekanikal dan brek regenratif berjalan dengan lancar. Tak menggelungsur

Bahagian stereng pula mungkin menjadi perkara paling kontroversi pada SUV ini pada hemat penulis. Rasa stereng agak kaku, terlalu ringan dan mungkin sedikit over-assisted. Rekaan stereng dua spoke juga mungkin tidak digemari opeh penulis. Tambahan pula, posisi tengah stereng terasa rata, menyebabkan tapak tangan tersentuh suis dan tidak ergonomik pada tapak tangan.

Suspensi menggunakan kombinasi MacPherson depan dan multilink belakang. Dari segi keselesaan, suspensi ini ditala dengan bagus dan selesa untuk pemanduan harian dan perjalanan jauh. Mungkin terlalu selesa sehingga mengorbankan aspek pengendalian

Penulis rasakan apabila memasuki selekoh dengan laju, rasa keyakinan itu tidak begitu kuat disebabkan komunikasi dengan stering sukar diramal. Kereta agak sukar memberi maklum balas tentang posisi tayar dan garis selekoh.

Ketika melalui selekoh dengan permukaan jalan tidak rata pula, bahagian belakang rasa seperti membuai persis kereta penulis yang menggunakan torsion beam di roda belakang. Jika anda perlukan sebuah kenderaan untuk pemanduan lincah, maka eMas 7 PHEV ini bukanlah pilihan ideal.

Dari segi keselamatan, Prime Plus memang sarat dengan sistem bantuan pemandu moden. Antaranya ialah AEB, ACC, ICC, Lane Keep Assist, Lane Departure Alert, Traffic Sign Recognition, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert bersama brek automatik, Blind Spot Detection, Door Open Warning dan Occupant Detection.

Pendek kata, apa yang Proton bekalkan untuk eMas7 ini sangat berbaloi pada harganya.

Cuma ada beberapa perkara ergonomik yang boleh diperbaiki. Contohnya suis lampu tidak diberikan suis fizikal, malah perlu dikawal menerusi skrin dengan cara swipe terasa kurang praktikal. Voice command pula masih belum boleh digunakan untuk membuka lampu.

Apa yang Proton cuba lakukan dengan e.MAS 7 Prime Plus sebenarnya sangat mudah dengan membawa teknologi PHEV kepada lebih ramai pengguna Malaysia pada harga yang masuk akal. Pada RM109k untuk varian Prime, anda mendapat SUV besar, sistem plug-in hybrid moden, bateri besar, jarak pemanduan EV yang jauh dan pengalaman pemanduan yang sangat selesa untuk kegunaan keluarga.

Ya, ada kelemahan seperti stereng yang kurang rasa dan karakter pemanduan yang tidak begitu sporty, tetapi untuk majoriti pembeli SUV keluarga, ia mungkin bukan isu besar.

Cuma jika ada bajet lebih, penulis sarankan pilih saja varian Premium atau Premium Plus kerana tambahan ciri keselamatan, bateri Aegis 29.8 kWh, pengecasan pantas 60 kW, panoramic sunroof dan beberapa ciri tambahan lain memang terasa berbaloi.

Google ads
Back to top button