
HIBRID LEBIH BERBALOI DARI EV – KALAU TAK SETUJU JOM KITA BERGADUH
Trend terkini 2024 menyaksikan pengeluar EV menawarkan diskaun-diskaun hebat akibat kemerosotan jualan. Tesla sudah menurunkan harga manakala Jaguar Land Rover mengurangkan perancangan model EV baharu mereka dari enam model kepada empat sahaja menjelang 2026.

Pasaran hibrid sebaliknya semakin melonjak naik berbanding pasaran EV yang menyaksikan pengeluar-pengeluar kerugian berbillion dollar di seluruh dunia. Hibrid pula mencatatkan peningkatan angka jualan dua kali ganda. Nampak khabar angin sebelum ini yang mengatakan EV bakal menggantikan hibrid tidak akan berlaku dalam jangka masa terdekat.
Mari kita tengok kenapa hibrid dan hibrid plug-in adalah pilihan yang lebih bijak berbanding EV.
Sebagai rujukan mari kita biasakan diri dengan ringkasan ini:
- BEV: Battery Electric Vehicle. Inilah yang kita kenali sebagai EV.
- PHEV: Plug-in Hybrid Electric Vehicle
- HEV: Hybrid Electric Vehicle
Senang cerita BEV ataupun EV ini biasanya dikuasakan bateri sepenuhnya. Ia tidak menggunakan sistem pembakaran dalaman dan anda tidak perlu pergi ke stesen minyak untuk mengisi bahan api.

HEV ataupun kita kenali sebagai kenderaan hibrid mempunyai gabungan enjin pembakaran dalaman biasa dan sistem dorongan berkuasa elektrik. Ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya dengan jarak yang sangat terhad menggunakan bateri bersaiz kecil dan tidak ada kabel untuk melakukan cas semula. Bateri HEV dicas semula menggunakan sistem brek regenerative.
PHEV lebih maju sedikit kerana baterinya boleh dicas menggunakan kabel pengecas sama seperti EV. Ia juga boleh menggunakan enjin biasa sepenuhnya, bateri sepenuhnya ataupun kedua-duanya sekali. Standard operasi PHEV ialah sekitar 80.5 kilometer.
Dah faham sikit kan? Jadi kenapa jualan hibrid kini mengatasi EV yang kononnya hebat sangat tu?

- Harga EV masih di luar jangkauan
Walaupun dengan diskaun yang ditawarkan harga kebanyakan model EV masih dikira mahal dan jauh dari kemampuan kebanyakan insan di dunia ini. Cuba bandingkan harga Tesla Model 3 dengan Honda Civic, kat situ pun kita dah boleh nampak perbezaannya. Itu dengan pengecualian cukai. Kalau dah tak ada pengecualian macam mana?
- Ramai sukakan EV tapi bukan untuk perjalanan jauh
Memang infrastruktur EV semakin berkembang tapi ia belum setanding dengan teknologi sedia ada. Abang bagi contoh kau nak balik ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur. Stesen pengecas ada di Gua Musang tapi bila kau sampai kat sana dah ada tiga buah EV tunggu nak cas semula. Kau rasa untung lagi tak pakai EV masa tu? Cakap lebih kan ada yang trigger cakap “Eleh aku bukan beli pakai duit si Japar pun”.
Kalau pandu hibrid mana ada masalah ni, pandu je lah dengan enjin biasa dan kalau setakat nak pergi beli roti canai buat sarapan, gunakan mod elektrik sepenuhnya. Taka da masalah sebab jarak operasinya sekitar ialah sekitar 30 ke 80 kilometer. Kalau korang pandu 50 kilometer sehari memang setahun pun tak habis minyak.

- Lebih kecil bateri lebih kurang masalah
Sekarang ni kecoh tentang kebakaran kenderaan-kenderaan EV kan? Mungkin ia sekadar serangan psikologi dari pengeluar kenderaan dengan enjin tradisional tapi bayangkan kalau bateri lithium-ion ni terbakar. Fuh memang kecoh satu dunia.
Hibrid ataupun PHEV tidak menggunakan bateri sebesar EV jadi rasa selamat la sikit. Sekurang-kurang kalau terbakar, ia tidak sebesar kebakaran yang berpunca dari bateri EV bersaiz penuh.
- Sistem hibrid membuatkan enjin lebih resposif
Benar, sebab itulah Lamborghini memilih sistem hibrid untuk Lamborghini Urus PHEV. Ia digelar hybrid torque fill. Inilah suntikan tork segera untuk menjadikan kenderaan anda lebih berkuasa dan responsive. Tak ada la rasa mendatar sangat.
- Hibrid tawar kelebihan sama seperti EV
Ia terbukti dari sudut praktikaliti. Lebih-lebih lagi jika anda cuma memandu sekitar kurang dari 50 kilometer sehari. Prius Prime PHEV boleh bergerak dengan bateri sepenuhnya untuk 70 kilometer. Itu lebih dari cukup untuk anda pandu tanpa menggunakan setitik pun petrol. Namun jika anda ingin pergi lebih jauh, enjin pembakaran dalamannya akan memberikan anda ketenangan walaupun terpaksa melalui kawasan pendalaman tapi infrastruktur yang lengkap. Isi je lah minyak dalam botol yang ada jual kat kampung-kampung tu.