Artikel Pilihan

FERRARI MODULO – SUPERCAR IDAMAN KANAK-KANAK TAHUN 80 AN

Kereta konsep kalau kena cara memang akan menjadi sangat menarik dan akan merintis jalan yang betul ke arah penghasilan model sebenar. Ini adalah kisah sebuah kereta konsep yang tidak asing untuk kanak-kanak sekitar tahun 80 an dulu. Ia merupakan salah satu kereta paling hebat dalam permainan kad Top Trump. Tak pernah main? Tak pernah dengar? Sah lah yang korang ni generasi Tiktok.

Kereta yang dimaksudkan ialah Ferrari Modulo yang juga dikenali dengan nama Pininfarina Modulo sempena nama syarikat yang merekanya. Ia merupakan kereta konsep paling ekstrim sekitar tahun 70 an keluaran Ferrari.

Siapa sangka kereta dengan rupa paras ala kapal angkasa ini lahir pada tahun 1970 ketika fesyen kaki seluar besar sangat popular di seluruh dunia. Model asalnya hanya untuk pertunjukkan. Ada enjin ada kotak gear sebagai gambaran ia sebuah model yang nyata tapi ia lebih kepada showcar semata-mata. Tapi semuanya berubah bila kereta ini diserahkan kepada Jim Glickenhaus pada tahun 2014.

Modulo muncul di khalayak ramai buat pertama kali pada Geneva Motor Show 1970. Ia merupakan hasil lakaran Paolo Martin yang ketika itu bekerja dengan firma rekaan popular, Pininfarina. Berbeza dari model konsep lain, Modulo dihasilkan daripada casis model sebenar. Bukan casis calang-calang tapi diambil dari model perlumbaan Ferrari, 512S. jadi asasnya ia memang sebuah Ferrari. Lebih tepat lagi mereka menggunakan casis dan enjin nombor #27.

Ia dilengkapi dengan enjin 5.2L V12 yang mampu menghasilkan 550 hp kuasa. Ia digandingkan dengan kotak gear manual 5-kelajuan. Kombinasi tersebut membolehkan Modulo memecut sehingga kelajuan teratas 220 bsj (bersamaan dengan 354 kmj!). Hanya 3 saat diperlukan untuk memecut dari 0-100 kmj.  Satu angka yang sangat hebat sekitar tahun 70 an dan ia bukan satu ilusi kerana Modulo menggunakan enjin yang diambil dari dunia perlumbaan sebenar.

Bukan hanya prestasi tapi daya penarik Modulo terletak pada rekaan luarnya yang tersendiri. Antaranya ialah bumbung kanopi daripada kaca yang dibuka untuk keluar masuk, 24 lubang pada penutup enjin bagi membolehkan kita melihat terus ke bahagian enjin dan pelindung roda pada kesemua bahagian yang memang tidak pernah dihasilkan pada model-model Ferrari sebelumnya.

Jim Glickenhaus membeli Modulo daripada Pininfarina pada tahun 2014 dan bersumpah untuk menjadikan ia sebagai kereta sebenar yang sah digunakan untuk jalan raya. Rugi oo ada enjin perlumbaan tapi tersadai selama 44 tahun.

Untuk tujuan itu, Modulo dibawa ke bengkel Sport Auto Modena yang memang tersohor di Eropah untuk sesi pembedahan supaya menjelma sebagai kereta yang sah digunakan. Ia dikembalikan kepada spesifikasi 512 tetapi blok enjin perlumbaan asal masih dikekalkan. Jim mahukan kereta ini selamat untuk dipandu tetapi originaliti mesti dikekalkan. Rak stereng ditukar manakala cermin pandang belakang sisi dan pengelap cermin ditambah. Michelin turut menghasilkan tayar khusus untuk Modulo ini. Spesial betul kereta ni kan?

Sistem ventilasi ditambah untuk mengalirkan udara sejuk ke bahagian kokpit begitu juga dengan kipas penyejuk pada bahagian skup. Hasilnya ialah sebuah kereta yang boleh dipandu di atas jalan, menggunakan enjin asal sekaligus mengeluarkan bunyi yang sangat padu tapi pada masa yang sama masih kekal sebagai sebuah Modulo yang asal.

Kereta ini disiapkan menjelang 2019 tapi ramai juga la warga maya yang mahukan kereta ini kekal sepertimana asal, sebagai sebuah karya seni (mesti jenis kaki komen sepenuh masa ni). Tapi Glickenhaus tidak kisah dan beliau memastikan kereta ini kekal seperti keadaannya dalam tahun 1970 dengan beberapa penambahan tentunya.

Melihat kereta ini bergerak di atas jalan mungkin merupakan pemandangan yang indah untuk peminat kereta. Yang tak minat pun mustahil tak akan berpaling sekali lagi bila melihat kereta seumpamanya. Malah ia lahir pada tahun 1970 di mana rata-rata kereta masih menggunakan rim besi dengan roda stereng bersaiz jari kelingking. Modulo memang lain dari yang lain.

Nasib baik juga la ada insan seperti Glickenhaus yang mempunyai kreativiti yang tinggi dan poket yang cukup tebal, kalau tak memang tidur dalam muzium la Modulo ni sehingga kiamat.

Kredit hotcars.com dan topgear.com

Google ads
Back to top button