PLUS PERUNTUK RM18 JUTA TAMBAH BAIK TANDAS AWAM DI 31 LOKASI
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memperuntukkan kira-kira RM18 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah serta plaza tol terpilih sepanjang Lebuhraya PLUS.
Kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini merangkumi 31 lokasi iaitu 7 kawasan R&R, 1 restoran jejantas, 12 hentian sebelah dan 11 plaza tol terpilih kini sedang giat dijalankan.
Kesemua kerja penambahbaikan tandas awam Lebuhraya PLUS dijangka siap sepenuhnya secara berperingkat bermula akhir tahun ini sehingga awal tahun hadapan.
Antara kawasan yang terlibat untuk kerja-kerja penambahbaikan tandas awam ini adalah di R&R Machap (Arah Utara), Gelang Patah (Kedua-dua Arah), Tapah (Kedua-dua Arah), Gurun (Arah Selatan) dan Pagoh (Arah Selatan), Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Kedua-dua Arah), Tangkak (Kedua-dua Arah), Bukit Gantang (Kedua-dua Arah), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Kedua-dua Arah), Behrang (Arah Selatan) dan Kampung Bemban (Arah Utara).
Manakala bagi plaza tol ia melibatkan Plaza Tol Tapah, Kajang, Jalan Duta, Simpang Ampat, Sungai Besi, Seafield, Kota Damansara, Bukit Raja, Setia Alam, USJ dan Putrajaya.
Di kawasan R&R terpilih, tandas awam telah ditambah baik dengan menambah bilangan tandas duduk termasuk dilengkapi dengan kubikel khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) dan kanak-kanak, kubikel untuk keluarga, bilik menukar lampin bayi, kemudahan tempat mandi serta landskap untuk pengudaraan, pencahayaan semula jadi.
Bagi memastikan keselesaan berterusan pengguna lebuh raya sepanjang tempoh kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan, pengguna lebuh raya boleh menggunakan kemudahan tandas sementara yang telah disediakan.
Sebagai alternatif, para pengguna juga boleh meneruskan perjalanan ke R&R dan hentian sebelah seterusnya untuk akses kepada tandas awam yang masih beroperasi seperti biasa.
Setakat hari ini, kerja-kerja penambahbaikan tandas awam di 11 lokasi sepanjang Lebuhraya PLUS telahpun disiapkan lebih awal dan sudah boleh digunakan oleh semua pengguna Lebuhraya PLUS.
11 lokasi tersebut adalah R&R Gelang Patah (Arah Utara), Hentian Sebelah Senawang (Arah Selatan), Pedas Linggi (Arah Utara), Tangkak (Arah Selatan), Tikam Batu (Arah Selatan), Alor Pongsu (Arah Utara) serta plaza tol di Jalan Duta, Tapah, Kajang, Bukit Raja dan Simpang Ampat.
Menurut PLUS, usaha ini adalah komitmen berterusan PLUS untuk menyediakan perkhidmatan dan pengalaman yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya.