Buletin

PLUS JANGKA DUA JUTA KENDERAAN GUNA LEBUH RAYA, CADANG PATUHI TTA

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan bakal menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sempena Hari Raya Aidiladha.

Menurut PLUS, jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi perjalanan balik kampung dan kembali ke Lembah Klang bagi lebuh raya berkenaan bermula esok hingga 2 Julai ini.

“Kami menggesa orang ramai supaya menyusun jadual perjalanan mereka berdasarkan TTA yang dikeluarkan bukan sahaja bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang untuk balik kampung tetapi juga bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang selepas bercuti.

Namun, kelancaran trafik turut bergantung kepada kejadian luar jangka seperti kemalangan dan sebagainya di mana ia boleh mengganggu perjalanan di lebuh raya,” katanya.

Berdasarkan TTA, bagi perjalanan bermula esok hingga Khamis, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang menuju ke destinasi lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Kuala Kangsar-Bukit Merah) dan Johor, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya lebih awal iaitu sebelum 10 pagi.

Sementara, bagi mereka yang menuju ke lokasi lebih dekat seperti Perak (Tanjung Malim-Ipoh), Negeri Sembilan dan Melaka dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya antara 12 tengah hari atau 3 petang.

Bagi perjalanan kembali semula ke Lembah Klang pada 30 Jun hingga 2 Julai, pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

Di samping jadual TTA, pengguna lebuh raya juga disaran untuk menggunakan Aplikasi PLUS, Waze atau Google Maps untuk mendapatkan pelan perjalanan lebih baik.

Pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih serta mengikuti laporan trafik terkini menerusi siaran-siaran radio utama negara. – BERNAMA

Google ads
Back to top button