PMCA RALLY SHAKEDOWN 2021 – BUKTI BAHAWA SUKAN RALI SENTIASA HIDUP!
Lama sungguh BK tidak menulis perihal dunia rali tempatan. Kawan – kawan rali BK pun lama juga sangap tidak keruan. Semuanya gara – gara pandemik Covid-19 yang melanda. Tetapi hujung minggu lepas telah berlangsungnya acara PMCA Rally Shakedown 2021 di Bukit Goh, Kuantan.
Penganjuran Rally Shakedown itu dianjurkan buat julung kalinya itu oleh Pahang Motorsports Club Association (PMCA) itu dibuat bagi memberikan ruang dan peluang buat kaki rali untuk melempiaskan nafsu untuk jump dan meratah selekoh tanpa melanggar pokok yang mungkin tiba – tiba melintas sewaktu sedang memecut laju di trek. Walau pun notis yang dikhabarkan agak mengejut juga namun terima kasih diucapkan kepada saudara Arish Quth selaku orang kuat penganjuran Rally Shakedown ini.
Walau pun notis penganjuran Rally Shakedown kali ini dianggap sedikit singkat namun ianya masih mampu menarik perhatian beberapa nama besar untuk turut serta seperti Chepot dan juga Rellik Niezarm. Bagi Chepot dan pasukannya One Motorsport ini merupakan kali pertamanya mereka kembali trek rali setelah berlaku sedikit rombakan dalam pasukan beliau. Seperti biasa, di mana ada Chepot, sudah tentu di situ jugalah adalah si Henzee.
Menurut Chepot yang BK hubungi untuk mendapatkan maklum balas setelah tamat acara penganjuran beliau agak berpuas hati kerana kali ini mereka hadir dengan dua muka baharu Muhammad Zaki dan juga Yatt Baharuddin bagi membentuk pelapis rali di masa hadapan. Cumanya malang sedikit menimpa buat Chepot apabila jentera kesayangan beliau Subaru GC8 mengalami masalah kotak gear kaput. Masalah tersebut hanya disedari ketika dalam perjalanan menuju ke tapak permulaan. Sempat memasuki trek sebelum GC8 beliau merajuk dan terus duduk di tepi sebalik pokok kelapa sawit.
Manakala Rellik Niezarm pula hanya hadir solo bersama jentera Mitsubishi Evo 3 beliau tanpa ditemani jentera rali yang lain daripada pasukan JRSpeed SuciMuci. Menurut Niezarm ketiadaan jentera lain pasukannya disebabkan atas faktor komitmen kerja hakiki oleh rakan sepasukan beliau.
Oh ya, Rally Shakedown yang bersifat santai ini meliputi jarak sehingga 7.4 km dengan dua peringkat yang diadakan pada pagi dan petang. Diantara jentera rali lain yang turut serta termasuklah Subaru Impreza dan Mitsubishi Evo 6 ( HB-LMC Rally Team), Perodua Myvi X4 dan Perodua Kelisa (Zag Speed) serta Zero Car, Satria Neo yang dipandu oleh Faidzal Alang.
Menurut sumber yang BK perolehi, besar kemungkinan Malaysian Rally Championsip (MRC) bakal kembali musim hadapan. Sudah tentu penggiat rali tempatan sudah tidak sabar untuk kembali beraksi dengan jentera masing – masing. Pasukan One Motorsport sudah pasti dengan hadir dengan jentera Subaru GC8 dan juga Satria Neo. Manakala risikan pasukan JRSpeed SuciMuci mereka mungkin hadir dengan jentera baharu. Apa pun, kita tunggu sahaja tahun hadapan. Moga ianya menjadi kenyataan.
Kredit Foto : FB Israqi Mokhtar
BACA : ADRENALINE IMPACT – ONE MOTORSPORTS BDRT RALLY SHAKEDOWN
BACAK : JRSPEED SUCIMUCI TURUT BAKAL BERAKSI DI THAILAND RALLY CHAMPIONSHIP